Saturday, December 3, 2022

Tidak ada yang sanggup serah semula mandat kepada PH

Secara Rawak

KUALA LUMPUR: Arahan Mursyidul Am PAS,   Datuk Hashim Jasin serta pendirian PAS Pusat untuk memperkukuh agenda penyatuan ummah, mestilah dilihat secara lebih holistik terutama dalam mendepani cabaran politik semasa pasca Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

“Dalam mengenal siapa musuh sebenar kita, semua pihak haruslah menginsafi, dan mengingat semula titik awal bermulanya krisis politik hari ini,” menurut Ketua Pemuda PAS Negeri Selangor, Mohamed Sukri Omar  dalam satu kenyataan.

Menurut beliau, faktanya kemelut politik ini berlaku akibat kebobrokan yang dibawa oleh Pakatan Harapan (PH), yang gagal segagal-gagalnya dalam mengemudi kepimpinan negara sepanjang 22 bulan.

Tambahnya, tidak ada mana-mana rakyat Malaysia, khususnya umat Islam serta anak Melayu dan bumiputera yang sanggup menyerahkan semula mandat pemerintahan negara kepada PH.

“Cukuplah bagaimana keharmonian dan perpaduan negara digugat, perkara-perkara sensitif berkaitan hak Melayu dan Bumiputera serta umat Islam disentuh, janji-janji manifesto dikhianati, dan pemimpin-pemimpin mereka yang dituduh di mahkamah dilepaskan,” katanya.

Menurutnya, hanya mereka yang tidak waras sahaja yang mahu PH kembali mentadbir semula.

“Maka dalam berhadapan musuh sebenar kita, hanya penyatuan ummah, terutamanya dalam kalangan rakyat berbangsa Melayu dan beragama Islam, serta bukan Islam yang tidak ekstrem, yang menjadi kunci dalam mendepani mereka,” tambahnya.

Katanya, sebarang tindakan menjadikan kumpulan Melayu Islam yang lain sebagai musuh utama, apatah lagi tatkala kedudukan dan kuasa orang Islam yang kukuh dalam pemerintahan begitu diperlukan di Malaysia, adalah amat tidak wajar.

“Tindakan ini hanya akan memberi kelebihan kepada musuh sebenar kita mengalahkan kita, dan merisikokan negara ke arah yang lebih buruk,” ujarnya.

 

 

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru