Friday, December 2, 2022

Semai budaya sayangi alam sekitar

Secara Rawak

LUBOK ANTU: Seramai 150 murid sekolah rendah di sekitar Sri Aman, Lubok Antu dan Betong diterapkan dengan nilai cinta akan alam sekitar melalui penganjuran Program Keselamatan dan Kesedaran Alam Sekitar oleh Sarawak Energy.

Ia melibatkan Sekolah Kebangsaan (SK) Kem Pakit, SK Nanga Klassen, SK Engkilili No 2, SK Sedarat, SK Kem Skrang, SK Nanga Enteban, SK Bartholomew dan SK Nanga Ajau.

Menurut Naib Presiden Kanan Kesihatan, Keselamatan dan Alam Sekitar (HSSE) Sarawak Energy Marconi Madai, program bertemakan Lindungi Alam Sekitar Dan Pelihara Bumi Kita Untuk Masa Depan adalah sebahagian daripada beberapa inisiatif Sarawak Energy untuk memberi penekanan tentang kepentingan keselamatan dan penjagaan alam sekitar.

“Kesedaran keselamatan dan pemuliharaan alam sekitar harus menjadi tanggungjawab bersama. “Biarpun Sarawak Energy menggabungkan peraturan keselamatan dan amalan hijau dalam perniagaan, namun kami percaya adalah penting untuk turut membina kesedaran dalam komuniti.

“Justeru, program ini menyasarkan generasi muda bagaimana semua pihak boleh memainkan peranan dalam menjamin masa depan yang mampan,” katanya dalam kenyataan tentang program yang diadakan di SK Engkilili No 2, semalam.

Jelasnya, Sarawak Energy kini bekerjasama dengan pihak berkepentingan untuk melancarkan program penanaman pokok, perlindungan dan pemulihan habitat selari matlamat UN SDG No 13 Tindakan Iklim dan No 15 Kehidupan Di Darat serta Matlamat COP 26 untuk Melindungi Komuniti dan Habitat Semula Jadi.

“Kami tahu ia memerlukan banyak penyertaan dan kerjasama yang lebih padu daripada semua pihak untuk memastikan matlamat ini dapat direalisasikan,” ujarnya.

Sementara itu bagi Pengurus Besar HSSE Sarawak Energy Ir Robin Tigai, menyatakan keterujaan melihat sambutan yang memberangsangkan. “Begitu jelas keghairahan yang ditunjukkan oleh murid-murid.

“Langkah-langkah kecil sebegini penting untuk menerapkan amalan hijau dalam kehidupan seharian seperti membawa botol air sendiri, tidak membuang sampah, dan mengurangkan penggunaan plastik sehingga akhirnya kelak menjadi kebiasaan.

“Saya berharap program ini memberi pencerahan dan muridmurid dapat berkongsi dengan keluarga dan rakan-rakan tentang apa yang dipelajari mengenai penjagaan alam sekitar,” tambahnya.

Sesi pembelajaran kreatif melalui bercerita yang turut diselitkan bertujuan menyemai sikap proaktif dalam menjaga alam sekitar.

Sebanyak 16 murid mewakili lapan sekolah berkongsi kisah mereka dalam Bahasa Melayu tentang penjagaan alam sekitar berdasarkan empat tema iaitu Katakan Tidak Kepada Straw, Sifar Sisa dan Kutip Sampah, Guna Semula, Kurangkan, Kitar Semula dan Jimat Air/Air Bersih.

Program turut diisi dengan ceramah keselamatan mengenai elektrik dengan kerjasama Pejabat Pendidikan Daerah Sri Aman, Lubok Antu dan Betong dan KEC International (Malaysia) Sdn Bhd sebagai kontraktor yang bekerja di Talian Transmisi Sri Aman-Serudit

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru