Saturday, December 3, 2022

Serang sistem saraf manusia

Secara Rawak

KUCHING: Sarawak merekodkan sebanyak 47 kematian daripada sejumlah 53 jangkitan rabies dalam kalangan manusia sejak wabak tersebut menyerang negeri ini pada Julai 2017.

Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Datuk Seri Dr Stephen
Rundi berkata, jumlah tersebut termasuk lapan kes kematian yang dilaporkan tahun ini.

“Ia merupakan sejenis penyakit yang mempengaruhi sistem saraf dan otak seseorang. Apabila dijangkiti, peluang untuk individu sembuh sepenuhnya adalah tipis, malah lebih berisiko membawa kematian.

“Namun, saya yakin virus rabies ini mampu dikawal dengan pemberian vaksin yang konsisten sama seperti ketika kita memerangi Covid-19,” katanya pada Persidangan Rabies di Borneo 2022 di sini, semalam.

Menurutnya, persidangan yang julung kali diadakan dan disertai lebih 250 pakar dari Malaysia, Indonesia, Filipina dan Australia itu tepat pada masanya selepas dua tahun memerangi Covid-19.

“Dalam tempoh dua tahun tersebut juga Sarawak turut berdepan cabaran dalam usaha mengekang wabak rabies dan tidak mahu situasi tersebut semakin teruk.

“Oleh itu, persidangan ini amat penting dan memerlukan kerjasama semua pihak khususnya dalam berkongsi pengetahuan dan pengalaman bagi menghasilkan langkah pencegahan serta memeranginya.

“Diharap persidangan ini akan membuahkan hasil yang membawa manfaat besar bagi menjayakan sasaran sifar rabies di Sarawak menjelang 2025,” tegasnya.

Tambahnya, Kerajaan Sarawak juga telah memperuntukkan sejumlah RM7.07 juta di bawah Pelan Tindakan Program Kawalan dan Penghapusan Rabies.

“Ia termasuk menubuhkan pasukan khas yang dinamakan Immune Belt Enforcement Team (IBET) bagi mencegah pencerobohan rabies di sepanjang sempadan Sarawak-Kalimantan yang menjangkau lebih 1,200 kilometer.

“Pasukan ini ditugaskan untuk mengekang pergerakan anjing gila serta menjalankan pengawasan dan vaksinasi anjing dengan Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak (DVSS),” ujarnya.

Katanya lagi, rabies adalah wabak yang berlaku di seluruh dunia, dianggarkan sekurangkurangnya 59,000 kematian dalam kalangan manusia berlaku setiap tahun di Asia dan Afrika sahaja.

Persidangan tersebut diadakan sempena sambutan Hari Rabies Sedunia yang disambut 28 September setiap tahun bagi meningkatkan kesedaran tentang pencegahan rabies.

Tema tahun ini ialah Rabies: Satu Kesihatan, Sifar Kematian.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru