Wednesday, November 30, 2022

Pelajar dibunuh kerana silap ejaan

Secara Rawak

LUCKNOW: Seorang guru di India dituduh memukul pelajarnya sehingga mati hanya kerana kesilapan ejaan, sekali gus mencetuskan protes ganas.

Pihak polis sedang memburu guru berkenaan kerana memukul hingga mati seorang pelajar dari kasta rendah kerana kesilapan ejaan.

Nikhil Dohre dipukul menggunakan rotan dan ditendang sehingga pengsan oleh gurunya awal bulan ini kerana tersilap mengeja perkataan ‘sosial’ dalam peperiksaan, berdasarkan laporan polis difailkan bapanya.

Pelajar berusia 15 tahun itu mati semalam akibat kecederaan yang dialami di sebuah hospital di negeri Uttar Pradesh di utara India manakala guru yang menjadi suspek sudah melarikan diri.

“Dia kini menjadi pelarian tetapi kami akan menahannya secepat mungkin,” kata pegawai polis, Mahendra Pratap Singh, kepada AFP.

Dohre adalah anggota masyarakat Dalit, yang dianggap antara kasta paling rendah di bawah sistem kasta di India, yang penuh dengan penghinaan dan diskriminasi sejak berkurun lamanya.

Ratusan penunjuk perasaan turun ke jalanan semalam selepas berita kematian Dohre tersebar di daerah Auraiya, lokasi di mana serangan berlaku.

Mereka menuntut guru berkenaan ditahan sebelum mayat Dohre dibakar dan sebuah kenderaan polis turut dibakar.

“Sekitar 12 penunjuk perasaan sudah ditahan dan kami terpaksa guna kekerasan bagi meredakan ketegangan dan mengawal keadaan,” kata Superintendan Polis, Charu Nigam, kepada pemberita.-AFP

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru