Wednesday, November 30, 2022

Kerjasama syarikat swasta sedia perkhidmatan perubatan

Secara Rawak

KUCHING: Syarikat swasta digesa agar tampil menjalankan kerjasama dengan Hospital Umum Sarawak (HUS) dalam menyediakan perkhidmatan perubatan lebih baik kepada rakyat di negeri ini.

Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Michael Tiang Ming Tee berkata, tanpa kerjasama daripada syarikat swasta, pemberian perkhidmatan menjadi terhad disebabkan kekurangan ruang dan sumber yang tersedia.

“Hari ini (semalam) kita menyaksikan syarikat Kumpulan Lien Dak menyerahkan beberapa
aset perubatan kepada HUS untuk kegunaan memberikan perkhidmatan kesihatan kepada orang ramai.

“Inisiatif ini sewajarnya dicontohi syarikat swasta yang lain dalam usaha membantu menyokong kemudahan kesihatan di HUS demi keselesaan rakyat,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Restoran dan Galeri Teater di Regatta Suites, pusat beli-belah Kozi Square di sini semalam.

Terdahulu, Michael menyaksikan majlis penyerahan 14 unit katil pemeriksaan kesihatan dan 13 unit mesin pengimbas dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM12,000 kepada HUS untuk digunakan di Klinik Pediatrik HUS di sini.

Dalam pada kata Micheal, syarikat berkenaan turut banyak membantu HUS dalam menyediakan kemudahan kepada petugas barisan hadapan sejak penularan pandemik Covid-19 tahun lalu.

“Misalnya mereka menyokong HUS dengan menyediakan makanan dan tempat penginapan kepada petugas barisan hadapan yang bertugas di Pusat Pemberian Vaksin di Kozi Square.

“Malah, mereka turut menyediakan ruang baharu iaitu Klinik Pediatrik untuk kegunaan orang ramai selain menyediakan farmasi secara pandu lalu di bangunan ini.

“Sehubungan itu, sudah saatnya semua pihak berganding bahu membantu HUS supaya hospital tersebut mempunyai peralatan serta sumber yang mencukupi untuk terus beroperasi demi kepentingan rakyat,” katanya lagi.

Hadir sama, Pengerusi Eksekutif Kumpulan Lien Dak, Stephen Wong dan Pengarah HUS, Dr Ngian Hie Ung.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru