Friday, December 2, 2022

Perjuangan dalam seni muzik – Daus Eli

Secara Rawak

KOTA SAMARAHAN: “Acoustic Battle 2022” mendapat sambutan hangat bukan sahaja dalam kalangan peserta malah peminat dari sekitar kawasan Kota Samarahan dan Kuching.

Pengerusi Penganjur Acoustic Battle 2022 Muhd Shahril Firdaus Eli atau lebih dikenali sebagai Daus Eli berkata acara tersebut dianjurkan untuk mengetengahkan bakat anak muda di Sarawak.

“Kita juga ingin menggalakkan penglibatan mereka dengan muzik kerana ini dapat mengisi masa apang bagi mengelakkan mereka terlibat dengan gejala sosial yang tidak baik,” katanya ketika ditemui pemberita selepas pertandingan Acoustic Battle 2022 di The Summer Shopping Mall.

Tambah Daus, kesemua 10 peserta yang terdiri daripada penyanyi solo dan berkumpulan yang menyertai Acoustic Battle 2022 sememangnya berbakat.

“Justeru, dengan penganjuran acara sebegini kita mampu melihat bakat-bakat terpendam khususnya dalam kalangan anak Sarawak

“Jadi besarlah harapan saya agar mereka ini meneruskan perjuangan dalam industri seni muzik, dan tidak mudah berputus asa supaya ini boleh menjadi rezeki mereka pada masa akan datang,” ujarnya.

Beliau memberitahu, “Acoustic Battle” ini juga bakal menjadi acara tahunan yang akan dikembangkan di seluruh Sarawak pada masa yang akan datang.

“Sudah pasti kita akan melibatkan artis jemputan, acara menarik dan sebagainya,” jelas Daus.

Sehubungan itu, Daus memberitahu acara tersebut semalam juga turut melibatkan pameran dari Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) untuk memberi pendedahan kepada belia remaja mengenai isu penyalahgunaan dadah.

“Kita sering mendengar bahawa pada usia 25 tahun ke atas mereka ini terdedah kepada isu penyalahgunaan dadah jadi disebabkan itu juga kita menganjurkan acara sebegini,” katanya yang kini sedang sibuk membuat single terbaharu dan kerja-kerja penganjuran acara.

Mengenai program tersebut semalam, ia turut menampilkan artis jemputan seperti Bandi Amuk, Rizal Ayub dan Fariz Malek.

Johan “Acoustic Battle” 2022 adalah Edan Kesmaran yang membawa pulang wang tunai RM800, serta sijil dan trofi; tempat kedua milik HD Busker membawa pulang wang tunai RM500 serta sijil dan tropi; manakala tempat ketiga dimenangi oleh The Buskers membawa pulang wang tunai RM200 beserta sijil dan trofi.

Hadir sama adalah Ketua Pentadbiran Marqas Operasi Adun Muara Tuang Hirdayah Hussain yang hadir bagi mewakili Adun Muara Tuang Datuk Idris Buang; Pemilik Raja Tom Yum Sharif Wan Mohd Najid yang juga merupakan penaja serta wakil yang lain.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru