Saturday, December 3, 2022

Padah beli loteri awam tanpa lesen

Secara Rawak

KUCHING: Padah membeli loteri awam tanpa lesen di sebuah kafe, Batu Kawah, seorang remaja lelaki di denda RM500 atau dua bulan penjara oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

Majistret Syarifah Fatimah Azura Wan Ali menjatuhkan hukuman terhadap tertuduh berusia 18 tahun selepas mengaku bersalah atas satu pertuduhan di bawah Seksyen 9(1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa memiliki tiket loteri awam tanpa lesen dalam sebuah kafe di Batu Kawah, sekitar jam 1.15 petang, 14 Ogos lalu.

Sabit kesalahan, boleh dihukum denda sehingga lima RM5,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali.

Berdasarkan fakta kes, sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah IPD Kuching telah mengadakan satu serbuan di sebuah kafe kerana dipercayai terdapat aktiviti judi awam tanpa lesen.

Hasil pemeriksaan, berjaya menahan seorang lelaki bersama peralatan yang disyaki digunakan untuk membeli tiket loteri awam tanpa lesen.

Barang-barang milik tertuduh turut dirampas dan mesej di telefon bimbit terdapat angka-angka tiket loteri awam tanpa lesen serta wang tunai berjumlah RM110 .

Siasatan lanjut dan laporan pakar judi mengesahkan telefon bimbit milik tertuduh mempunyai angka-angka loteri awam haram.

Pendakwaan kes dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Inspektor Mohd Adzmei Ahmad manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

 

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru