Friday, December 2, 2022

Mambong pengeluar kopi Liberica

Secara Rawak

PADAWAN: Dun Mambong kini menjadi State Coffee Belt yang mengeluarkan serbuk kopi Liberica, kata Adun kawasan tersebut, Datuk Dr Jerip Susil.

Menurutnya, lebih 1,000 penduduk kampung di kawasan Dun Mambong kini mengusahakan tanaman kopi Liberica sejak tiga tahun lalu.

“Tanaman mereka sudah membuahkan hasil dan kami berasa bangga dengan hasil tersebut kerana Mambong telah muncul sebagai State Coffee Belt,” katanya kepada media selepas merasmikan Dewan Serba Guna Kampung Bayur Sigandar di Jalan Borneo Heights-Teng Bukap, Ahad.

Dr Jerip yang juga Timbalan Menteri Pengangkutan berkata, berikutan itu kini terdapat tiga syarikat mengeluarkan serbuk kopi hasil tanaman kopi di Mambong dengan jenama Kopi Katup, Kopi Kura-kura dan DrKofi.

Katanya, setiap peserta program yang berada di bawah Jabatan Pertanian Sarawak itu dibekalkan 800 anak pokok kopi Liberica, selain bekalan percuma baja, racun dan peralatan pertanian.

Sehubungan itu, beliau menggesa orang ramai yang berminat menyertai projek tanaman kopi untuk mendaftarkan diri sebagai peserta supaya bekalan anak benih kopi dapat diagihkan dan pada masa yang sama, baja, racun dan peralatan percuma dapat diberikan kepada mereka.

Dr Jerip turut menggesa suri rumah di kawasannya untuk terlibat dalam perniagaan kecil-kecilan seperti membuat kerepek pisang dan kerepek ubi kayu bagi menambah pendapatan mereka.

Katanya, kursus membuat kerepek pisang dan kerepek ubi telah diadakan di sini dan sekarang terdapat beberapa suri rumah di Kampung Punau, Kampung Bunuk dan Kampung Semadang memulakan penghasilan kerepek tersebut.

Sementara itu, mengulas mengenai program dokumentasi tanah Hak Adat Bumiputera (NCR), Dr Jerip menggesa setiap kampung dan pemilik tanah di kawasan Dun Mambong supaya mempercepatkan kerja-kerja tinjauan dan dokumentasi mereka melalui Persatuan Kebangsaan Dayak Bidayuh (DBNA).

Beliau berkata, hanya DBNA yang diberi kuasa untuk mendokumentasikan NCR masyarakat Bidayuh kerana Jabatan Tanah Ukur hanya akan merujuk DBNA sebelum mengeluarkan surat hak milik.

Katanya, mana-mana kampung yang memerlukan peruntukan bagi tujuan ukur dan dokumentasi tanah boleh memohon geran daripadanya.

Sehubungan itu, beliau turut menggesa pemilik tanah memberi kebenaran untuk pembinaan projek jalan pertanian di kawasan atau kampung masing-masing. “Ini penting supaya pembinaan jalan pertanian dapat dijalankan tanpa sebarang gangguan, kerana pembinaannya amat penting bagi membolehkan pemilik tanah meneroka dan memajukan tanah mereka dengan pelbagai tanaman bagi meningkatkan ekonomi mereka,” katanya.

Menurutnya, setakat ini pemilik tanah memberikan kerjasama yang baik dengan memberi kebenaran melalui tanah mereka untuk pembinaan jalan pertanian.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru