Saturday, December 3, 2022

Guna pendekatan profesional tangani rabies di Sarawak

Secara Rawak

KUCHING: Meskipun keadaan penularan rabies terkawal di Sarawak, namun ia tidak boleh dipandang ringan kerana boleh mengancam nyawa, tegas Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Beliau berkata, ini kerana Sarawak mempunyai kawasan yang agak luas dan sempadan lebih 1,000 kilometer yang menjadi kawasan anjing liar berkeliaran.

“Disebabkan itu Kerajaan Sarawak bekerjasama dengan masyarakat setempat terutama ketua masyarakat di kawasan pedalaman.

“Kita harus mempunyai pendekatan profesional cara untuk menangkap anjing dan pada masa yang sama, kita juga memerlukan profesional veterinar untuk mengesahkan sama ada anjing tersebut dijangkiti virus rabies atau tidak,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran IBET, Unit Keselamatan Dan Penguatkuasaan Sarawak (UKPS) di Dataran Perayaan, Jalan Stadium di sini semalam.

Katanya, disebabkan penularan penyakit berjangkit sering melanda di kawasan luar bandar, pasukan “Immune Belt Enforcement Team” (IBET) ditubuhkan bagi menangani masalah itu.

Tambah beliau lagi, pasukan tersebut akan dilengkapi dengan kemajuan teknologi masa kini, misalnya memberikan cip untuk penandaan dan pengesanan kepada anjing liar.

“Walaupun tiada liputan, anjing liar yang ditag ini masih boleh dikesan menggunakan radio frekuensi tinggi,” katanya sambil menambah terdapat seramai 108 anggota IBET di seluruh Sarawak setakat ini.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru