Friday, December 2, 2022

Terima kasih Yayasan Sarawak

Secara Rawak

SRI AMAN: Sebanyak 14 sekolah di Dun Simanggang menerima baucar daripada Yayasan Sarawak yang keseluruhannya berjumlah RM95,200.

Sekolah tersebut melibatkan sekolah kebangsaan, sekolah jenis kebangsaan Cina, sekolah rendah agama dan sekolah menengah.

Majlis penyerahannya disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pembangunan Bakat yang juga Adun Simanggang Datuk Francis Harden Hollis di Pejabat Daerah Sri Aman.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada Yayasan Sarawak kerana menjadikan pengagihan baucar ini sebagai acara tahunan.

Ia membantu meringankan beban ibu bapa pelajar dan terima kasih juga kepada Pejabat Daerah Sri Aman kerana menganjurkan program ini.

“Saya berharap pada masa yang akan datang, majlis penyerahan baucar ini diadakan di tempat lebih besar dengan penyertaan pelajar dan ibu bapa seperti sebelum pandemik Covid-19 melanda negara kita,” katanya.

Pada masa sama, beliau berharap penglibatan semua pihak akan menjadi inspirasi dan motivasi kepada ibu bapa dan pelajar dalam bidang pendidikan.

Sementara itu, Skim Bantuan Pakaian Seragam Sekolah (BPSS) Yayasan Sarawak pada tahun ini memanfaatkan 1,800 pelajar berkelayakan dan memenuhi kriteria ditetapkan Yayasan Sarawak dengan kerjasama Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Sri Aman berjumlah RM360,000.

Pada majlis sama, Harden turut menyampaikan cek Projek Kecil Luar Bandar (MRP) kepada 11 Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) berjumlah RM110,000.

Turut hadir Pegawai Daerah Sri Aman Shari• Bujang, Penolong Pengarah selaku wakil Pengarah Yayasan Sarawak Zamhari Saidi, wakil PPD Moslimin Krim dan Setiausaha Eksekutif Pusat Khidmat Adun Simanggang Kapitan Ling Siew Hung.

FRANCIS Harden bergambar bersama-sama wakil penerima baucar dan PIBG.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru