Saturday, December 3, 2022

Rumah terbakar di Kampung Baru penduduk tinggal sehelai sepinggang

Secara Rawak

KABONG: Sebuah rumah milik penduduk di Kampung Baru Kabong musnah dijilat api kira-kira jam 11.30 pagi tadi.

Rumah yang berstruktur kayu itu dikatakan terbakar bermula dari bahagian dapur dan seterusnya merebak memusnahkan sepenuhnya rumah berkenaan dalam tempoh kurang dari sejam.

Bagaimanapun penghuni rumah berkenaan berjaya diselamatkan jiran dan penduduk kampung yang terdengar jeritan meminta tolong ketika api baru sahaja marak di rumah berkenaan.

Penduduk kampung yang menyedari kejadian memberi bantuan dengan berusaha memadam kebakaran serta mengawal api dari memusnahkan rumah-rumah berdekatan.

Pemilik rumah terlibat tidak dapat menyelamatkan harta benda dan barangan dan mereka kini tinggal sehelai sepinggang.

Pasukan Bomba dan Penyelamat Saratok tiba di lokasi kejadian jam 12.20 tengah hari. Ketika itu api sudah mula dapat dikawal penduduk kampung yang hanya beralatkan baldi dan bekas lain untuk menyimbah api sebelum anggota bomba tiba.

Sebuah rumah berdekatan turut mengalami kerosakan dalam kejadian berkenaan.

Untuk rekod, pada 29 Jun lalu satu kebakaran turut berlaku di sini yang memusnah sepuluh pintu rumah kedai di pasar Kabong.

Rekod terjadinya beberapa siri kebakaran di Kabong sejak kebelakangan ini menjadi petunjuk jelas dan penanda aras kepada perlunya pembinaan balai bomba di daerah ini bagi berdepan suasana sama pada masa akan datang.

Saranan penduduk sudah begitu kerap dimajukan kepada pihak berkenaan namun apa yang jelas setakat ini, tinjauan pihak berkenaan memang ada namun belum ada tanda-tanda untuk pelaksanaannya.

Tidak dinafikan tinjau, lawat, jenguk dan periksa sudah kerap dibuat di kawasan Kabong untuk lihat kewajaran pembinaan balai bomba. Namun sekadar jenguk, tinjau dan lawat tanpa ada pelaksanaan akan sentiasa menjadi igauan ngeri bagi penduduk yang sudah kerap kali berdepan tragedi kebakaran di sini.

Semoga apa yang berlaku kali akan membuka mata pihak berkenaan untuk lebih serius merealisasikan kewujudan balai bomba di Kabong.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru