Saturday, December 3, 2022

Kajian persiapan Sarawak berstatus negeri tua 2028

Secara Rawak

KUCHING: Sarawak dengan kerjasama Universiti Teknologi Swinburne, Universiti Curtin Sarawak dan Universiti Teknologi Sarawak (UTS) menjalankan kajian negara menua sebagai persediaan menghadapi status negeri tua menjelang 2028.

Menurut Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti (KPWK) Datuk Seri Fatimah Abdullah, selain pandangan universiti tempatan, pandangan NGO, pusat jagaan warga emas termasuk Jabatan Kebajikan Masyarakat turut diambil perhatian wajar.

Kajian dijalankan dalam setahun bermula 2023 demi memastikan semua Dasar Warga Emas Negara dapat dicapai dengan warga emas berusia 60 tahun ke atas dapat berdikari, bermartabat, dihormati dengan memanfaatkan potensi diri melalui penuaan dan kesihatan yang positif.

Bercakap pada sidang media selepas Mesyuarat Kajian Negara Menua di Bangunan Baitulmakmur,
kajian berpandukan pembangunan berstruktur pelan induk bagi menyokong status negeri tua di Sarawak, selain menyokong masyarakat tua yang sihat dan bermaruah di negeri ini.

Antara kajian terlibat ialah memetakan profil penduduk tua di Sarawak, mengenal pasti isu dan cabaran penuaan, menilai keberkesanan dan hasil intervensi serta program sedia ada dan mengesyorkan strategi serta pelan tindakan menangani isu penuaan di Sarawak.

Skop penyelidikan meliputi keselamatan kewangan atau perlindungan sosial, perbelanjaan isi rumah, kesihatan dan kesejahteraan termasuk tingkah laku mencari kesihatan, perumahan dan pengangkutan, pembelajaran sepanjang hayat, pendidikan pengguna dan sebagainya.

Hasil kajian diharap dapat menentukan Dasar Warga Emas bagi Sarawak, Pelan Tindakan Negara Menua 2023 hingga 2030 yang sistematik dan tersusun untuk Sarawak.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru