Friday, December 2, 2022

Jangan malu berniaga di tepi jalan

Secara Rawak

KUCHING: Golongan belia di Sarawak sepatutnya mencipta pekerjaan dan bukannya mencari pekerjaan. Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan (Pembangunan Usahawan) Dr Ripin Lamat berkata, sejak Covid-19 melanda, ramai belia sukar mendapat tempat dalam sektor awam dan swasta.

“Oleh itu, kami di peringkat kementerian amat menggalakkan golongan belia untuk menceburi bidang keusahawanan.

“Kita akui tiada jalan mudah untuk menjadi usahawan berjaya kerana pastinya ada cabaran di sepanjang perjalanan.

“Namun, adanya kemahuan dan semangat ingin berjaya dalam hidup, belia tidak perlu takut untuk mencuba menceburi bidang ini walaupun terpaksa berniaga di tepi jalan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan majlis penutupan Hari Belia Negara 2022 di Stadium Perpaduan Kuching, di sini. T

ambahnya, belia perlu lebih aktif melibatkan diri dengan komuniti kerana mereka adalah pemimpin masa depan negeri.

“Apabila ada penglibatan dengan pemimpin dan masyarakat, ia akan mengasah semangat kepimpinan selain mampu menghasilkan idea untuk membangunkan komuniti berkualiti,” katanya.

Susulan itu, Ripin menjelaskan, visi Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Datuk Seri Abdul Karim Hamzah adalah untuk melahirkan belia mempunyai kemahiran memimpin, berkualiti dan berpendidikan tinggi.

“Dalam Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), kita mempunyai Sayap Belia baharu 1828 iaitu belia dialu-alukan untuk menjadi calon di peringkat negeri dan persekutuan.

Penubuhannya menunjukkan pengiktirafan penting terhadap belia.

“Dengan ini, saya berharap belia boleh menjadi pemimpin, usahawan atau apa sahaja yang berjaya dan berkualiti tinggi serta menyumbang kepada negeri secara keseluruhan pada masa hadapan,” katanya.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru