Wednesday, November 30, 2022

Sikap terbuka rakyat Sarawak utuhkan lagi perpaduan

Secara Rawak

BAU: Sikap terbuka yang diamalkan rakyat Sarawak mengutuhkan lagi semangatkan perpaduan negeri ini.

Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Datuk Seri Stephen Rundi Utom berkata, sikap tersebut amat penting dalam menolak unsur ekstrimisme yang boleh memecah belah masyarakat.

Malah katanya, dengan pegangan dan kepercayaan yang kuat kepada agama, rakyat di negeri ini tidak akan goyah apabila berdepan cabaran.

“Sarawak sangat berbeza daripada negeri-negeri lain di Malaysia kerana sikap toleransi yang cukup kuat.

“Kita tidak melihat dari segi agama, latar belakang dan lain-lain. Apa yang penting adalah mengenai sifat hormat kita antara satu sama lain,” katanya ketika berucap selepas merasmikan pembukaan dan pemberkatan Gereja Katolik St Thomas More, Kampung Skandis Baru, di sini hari ini.

Pembinaan semula gereja bernilai RM1.6 juta tersebut mengambil masa dua tahun setengah untuk disiapkan.

Majlis pemberkatan disempurnakan oleh Uskup Agung Gereja Katolik Kuching Simon Poh.

Sementara dalam majlis yang sama, Adun Serumbu Miro Simuh berkata, selain pembinaan Gereja Katolik St Thomas More, terdapat lima buah gereja sedang dibina di Dun Serumbu.

Tambahnya lagi, terdapat tiga buah gereja sedia ada dikonstituensinya turut dinaik taraf untuk tujuan keselesaan umat Kristian bersembahyang.

“Terima kasih kepada Kerajaan Sarawak. Banyak peruntukkan dan pembangunan untuk rumah ibadat, bukan sahaja gereja tetapi lain-lain agama juga,” jelasnya.

Katanya, rakyat Sarawak harus menyemat kata perpaduan dalam kepelbagaian dalam diri mereka agar perpaduan terus kekal dan utuh di negeri ini.

“Inilah keunikkan di Sarawak kerana saling memerlukan satu sama lain,” ujarnya.

Turut hadir, Timbalan Menteri Pengangkutan (Sungai dan Laut) Datuk Henry Harry Jinep, Adun Tebedu Dr Simon Sinang Bada dan Pengarah Unifor Richard Lon.

 

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru