Wednesday, November 30, 2022

Pelajar Jepun berpeluang belajar budaya Sarawak

Secara Rawak

KUCHING: Pelajar Jepun dari Universiti Pengajian Antarabangsa Kanda (KUIS) berpeluang mempelajari budaya Sarawak semasa lawatan sambil belajar selama lapan hari di Swinburne University Technology Kampus Sarawak.

Sekumpulan pelajar seni liberal global diiringi kakitangan berpeluang merasai pengalaman berada di bandar raya Kuching selain mempelajari mengenai biodiversiti dan budaya.

Pelajar tersebut berkesempatan mempelajari mengenai budaya Sarawak selepas melawat tapak budaya dalam dan luar bandar raya Kuching.

Semasa berada di Kuching, pelajar berkenaan turut menghadiri bengkel seni dan seminar biodiversiti dikendalikan pakar industri dan pengarang buku terkenal.

Mereka turut berkesempatan melawat lokasi popular seperti Rizab Alam Semula Jadi Sama Jaya, Muzium Budaya Borneo, Bazar Lama Kuching dan Kampung Budaya Sarawak.

Pengarah Kursus Eksekutif dan Profesional Swinburne Fakulti Perniagaan, Reka Bentuk dan Seni Sarawak Dr Ling Chui Ching berkata, program tersebut menggalakkan pelajar antarabangsa untuk menambah pengalaman akademik melangkaui pengajian di kelas.

“Di setiap lokasi, pelajar diberi taklimat oleh penceramah berpengalaman dan mereka terlibat secara aktif dalam perbincangan interaktif,” kata Ling.

Pelajar tahun satu Shiga Nasumi berkata, bengkel seni yang diadakan menarik minatnya kerana dapat belajar melukis batik.

Goto Sakino salah seorang pelajar juga berkata, melalui program tersebut, dia mendapati agensi kerajaan di Sarawak sentiasa berusaha memulihara kawasan terlindung sepenuhnya dan alam semula jadi di negeri ini.

“Saya juga mempelajari lebih lanjut tentang kepelbagaian budaya, interaksi antara manusia dan hutan hujan tropika di negeri ini semasa melawat Kampung Budaya Sarawak.

“Pengalaman ini membolehkan saya melawat rumah panjang suku kaum asli yang berbeza dan mengkaji kelestarian biodiversiti dengan mata saya sendiri,” tambahnya.

Selain mempelajari tentang ekologi dan budaya Sarawak, lawatan sambil belajar itu membolehkan mereka berinteraksi dengan pelajar Swinburne Sarawak melalui perbincangan panel pelajar dan sesi perkongsian pengalaman belajar.

Ahli panel pelajar KUIS Sakamoto Kotone berkata, perbincangan panel itu membolehkan dirinya menyuarakan pendapat sambil mendengar pandangan ahli panel daripada Swinburne Sarawak.

Penolong Ketua Bahagian Penglibatan dan Perkongsian Global di KUIS Nemoto Takakuni turut berkata, gabungan seminar dan aktiviti pembelajaran luar itu menarik.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru