Saturday, December 3, 2022

Pelajar cemerlang diiktiraf Sarawak Oil Palms Berhad

Secara Rawak

MIRI: Seramai 135 pelajar sekolah menengah di negeri ini menerima Anugerah Pencapaian Muda 2021/2022 daripada Sarawak Oil Palms Berhad (SOP).

SOP baru-baru ini menjelajah ke Lambir, Niah, Suai, Marudi, Sebauh, Tatau, Sungai Asap dan Balingian untuk mengunjungi sekolah yang terlibat untuk menyerahkan anugerah.

Anugerah yang disampaikan merangkumi wang tunai dan sijil pengiktirafan kepada pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).

“Dengan kepercayaan kukuh dan penekanan terhadap kepentingan pendidikan, kita menganugerahkan pelajar yang layak ini untuk memberi inspirasi dan motivasi kepada anak-anak muda tempatan ke arah kecemerlangan akademik,” jelas SOP menerusi kenyataan akhbar.

Menerusi inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR), SOP menjelaskan, tumpuan akan diberikan kepada usaha memotivasi, menggalakkan dan mempromosikan pendidikan dalam kalangan generasi muda di kawasan luar bandar.

SOP menambah, usaha bersepadu dilaksanakan terutamanya dalam menghulurkan bantuan kepada kanak-kanak yang memerlukan dan memotivasikan mereka untuk menjadi pelajar dengan pencapaian tinggi serta meletakkan mereka di atas landasan menghargai pembelajaran berterusan.

“Untuk rekod, kita sudah menganugerahkan 1,078 pelajar di bawah program CSR yang sama sejak 2016.

“Kita bukan sahaja menumpukan kepada perniagaan kelapa sawit, tetapi kita juga menyasarkan untuk berkembang bersama-sama masyarakat setempat dengan membantu mereka melalui pelbagai inisiatif CSR dalam jangkauan pendidikan.

“YAA ialah salah satu daripada banyak projek CSR kami termasuk Program Penerimaan Pelajar (SAP), Projek Penjagaan Visi SOP dan Program Pemulihan SOPGet Equip’d dengan kerjasama Healthy Strides Foundation,” katanya lagi.

SOP menjelaskan, semua projek CSR adalah pemangkin untuk berkembang bersama masyarakat setempat.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru