Friday, December 2, 2022

MPS bakal keluarkan lesen

Secara Rawak

SIBU: Majlis Perbandaran Sibu (MPS) akan menjalankan kajian mengenai peruntukan tapak tebing sungai dan bangunan kedai lama di sini untuk membolehkan bistro beroperasi dengan persembahan kugiran.

Bercakap kepada media selepas menyempurnakan perasmian Persidangan Pertukaran Festival Muzik Borneo (BEMEC) 2022 di sini kelmarin, pengerusinya Kaunselor Clarence Ting Ing Horh berkata, ketika ini tiada lesen yang sah dikeluarkan untuk membenarkan bistro mengadakan persembahan nyanyian atau band secara langsung di premis mereka.

“Belum ada lesen untuk persembahan secara langsung (di bistro) tetapi sudah ada persembahan secara langsung di sekitar bandar dan mereka menghadapi masalah dengan polis.

Jadi pihak majlis ingin memperuntukkan kawasan tebing sungai dan bangunan lama di sekitar bandar ini untuk bistro beroperasi dan kita akan berikan mereka lesen untuk persembahan secara langsung ini,” katanya.

Menurutnya, penduduk di beberapa kawasan penempatan di sini mengadu kepada MPS mengenai bunyi muzik yang kuat daripada persembahan secara langsung itu kerana terdapat beberapa bistro terletak berhampiran kawasan perumahan.

“Di dalam bistro, persembahan secara langsung tidak dibenarkan tetapi kami akan membenarkannya sebaik sahaja semua bistro beroperasi di tempat yang sepatutnya seperti di tebing sungai kelak,” katanya.

Ting juga berkata, MPS juga sedang mengenalpasti beberapa kawasan untuk aktiviti muzik jalanan di sini.

“Untuk ‘busking’, kami akan mengenalpasti beberapa kawasan untuk aktiviti tersebut.

Pada masa ini tiada tempat yang sesuai untuk aktiviti itu dan pengamal muzik tersebut berdepan dengan tindakan pihak polis,” katanya.

Ting berkata, MPS mengambil langkah seperti itu bagi menggalakkan belia mempersembahkan bakat mereka dan juga untuk menjadikan bandar ini meriah.

“Kami telah bercakap mengenai trend baharu di Sibu dan kami perlu mengikut peredaran masa.

Berikutan pembukaan semula aktiviti selepas dua tahun pandemik, kami telah melihat anak muda mula membuat persembahan nyanyian secara langsung,” tambahnya.

Ting berkata, dengan orang yang melabelkan bandar ini sebagai tempat membosankan, beliau menegaskan muzik adalah tenaga terbaik untuk menghidupkan kembali kemeriahan di Sibu.

Festival muzik itu yang berlangsung selama dua hari bermula 23 hingga 24 September ini yang menampilkan persembahan muzik tradisional itu, katanya merupakan batu loncatan untuk memeriahkan serta memperkenalkan bandar Sibu kepada orang luar.

Terdahulu dalam ucapannya, Pengarah Urusan La Vie Event & Management yang juga pengerusi penganjur BEMEC 2022, Wilfred Gan berkata, acara itu diadakan untuk mempromosikan muzik tradisional tempatan dan merancakkan industri pelancongan tempatan.

Hadir sama ialah Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Seni Kreatif dan Persembahan Bakat Hii Chang Kee.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru