Wednesday, November 30, 2022

Lebih RM2 bilion untuk jalan raya luar bandar

Secara Rawak

KENINGAU: Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) membelanjakan lebih RM1.2 bilion bagi Program Jalan Luar Bandar (JALB) seluruh negara dalam usaha menyediakan sistem perhubungan luar bandar ke bandar lebih sempurna, kata Menterinya Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Beliau berkata program JALB dilaksanakan selaras dengan Dasar Pembangunan Luar Bandar (DPLB) untuk memperbaiki, memperluas dan mempertingkatkan rangkaian sistem jalan raya di kawasan luar bandar.

“KPLB menyasarkan untuk memperluas 100 peratus liputan prasarana asas di kampung-kampung di Semenanjung Malaysia dan 80 peratus di kampung-kampung di Wilayah Sabah dan Sarawak.

“Bagi tujuan berkenaan pada tahun ini sahaja lebih RM306 juta telah diperuntukkan untuk pembangunan jalan luar bandar bagi Sabah dan lebih RM221 juta untuk Sarawak,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau Projek Menaik Taraf Jalan Rancangan Belia Tiulon – Kampung Simbuan, Sook, di sini semalam seperti dilapor Bernama. 

Mengulas lanjut, Mahdzir berkata projek Menaik Taraf Jalan Rancangan Belia Tiulon – Kampung Simbuan, Sook, Keningau, telah diluluskan di bawah Pelan Pusingan Kedua, Rancangan Malaysia Ke-12 (RP-2, RMK12) tahun ini dengan kos RM152 juta.

“Projek ini melibatkan kerja-kerja menaik taraf jalan sepanjang 20 kilometer dengan lebar berturap 6.5 meter mengikut piawaian JKR R2 dan agensi pelaksananya adalah JKR Sabah.

“Jajaran jalan ini juga akan menghubungkan penduduk kampung ke Pekan Sook dan Pekan Keningau serta menghubungkan 13 kampung, tiga sekolah, klinik, rumah-rumah ibadat dengan anggaran jumlah penerima manfaat adalah seramai 2,000 orang,” katanya.

Mahdzir berkata proses tender bagi projek menaik taraf itu dijangka dilaksana pada hujung bulan ini dan kerja pembinaan dijangka dapat dimulakan pada suku pertama tahun hadapan.

“Dengan pembinaan projek ini, ia akan dapat memberi manfaat kepada penduduk kampung sekitar untuk mengangkut hasil tanaman serta memberi kemudahan perjalanan kepada penduduk kampung,” katanya.

Projek itu juga kata Mahdzir lagi, dapat menjimatkan masa dan kos perjalanan, lebih selamat selain mampu menjana peningkatan ekonomi setempat. 

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru