Wednesday, November 30, 2022

Guru wanita perlu kuat mental, emosi hadapi cabaran

Secara Rawak

KUCHING: Guru wanita perlu mempunyai ketahanan mental dan emosi lebih kukuh bagi mendepani cabaran daripada pelajar khususnya di sekolah menengah, kata Presiden Kesatuan Guru Sarawak (STU) Kullin Djayang.

Jelasnya, kesamarataan antara pelajar lelaki dan wanita tidak sepatutnya diperdebat walaupun ramai wanita memegang jawatan penting dan menunjukkan prestasi membanggakan.

“Zaman kini begitu ramai pemimpin wanita di seluruh dunia yang amat disegani dan berwibawa.

“Ini membuktikan kesamarataan antara lelaki dan wanita tidak harus diperdebatkan lagi.

“Justeru, sebagai guru wanita ketahanan mental dan emosi sangat perlu kerana banyak cabaran daripada pelajar bakal ditempuhi,” katanya ketika berucap dalam Seminar Wanita sempena sambutan Hari Wanita Sedunia di sini, Jumaat.

Tegasnya, cabaran bertugas sebagai guru khasnya kaum wanita pada abad ke-21 ini perlu diadaptasikan dengan persediaan mengikut perubahan situasi semasa.

Pada majlis sama, beliau menzahirkan penghargaan kepada Biro Wanita STU kerana berjaya mengadakan seminar seperti itu.

Terdahulu, seminar tersebut dihadiri wakil daripada exco tertinggi dan juga wakil ahli jawatankuasa STU dari seluruh Sarawak.

Pengisian seminar membabitkan literasi undang-undang yang berkaitan dengan semua perkara atau tindakan yang boleh dan tidak wajar diambil oleh guru semasa sesi pengajaran dan pembelajaran serta aktiviti kokurikulum di sekolah.

Selain itu, peserta juga didedahkan tentang kes mahkamah yang telah dilalui ramai guru serta cabaran daripada masyarakat moden yang sering berlaku dalam profesion perguruan. Perkongsian disampaikan oleh Pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia, Profesor Madya Dr Ramalinggam Ramanickam dan pakar motivasi dan psikologi, Dr Christie Augustine.

Majlis penutupan seminar dan penyampaian sijil penyertaan kepada peserta disempurnakan oleh Naib Presiden STU, Madeline Kho Chung Wei.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru