Wednesday, November 30, 2022

Bajet 2023: Apa khabar gembira untuk Sarawak?

Secara Rawak

KUCHING: Sarawak berharap mendengar khabar gembira semasa pengumuman Belanjawan Negara 2023 nanti.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, Sarawak sememangnya menantikan peruntukan dana yang akan diberikan Kerajaan Persekutuan dalam usaha melancarkan pembangunan di negeri ini.

“Kami berharap dapat menerima sedikit bantuan daripada Kerajaan Persekutuan untuk diberikan kepada Sarawak.

“Sudah tentu harapan kita adalah cukup besar,” katanya kepada pemberita ketika ditanya mengenai harapan Sarawak terhadap Belanjawan Negara 2023.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Pemasyuran Sarawak Deltra Geopark (SDGp) di Dewan Lagenda, Kampung Budaya Sarawak di sini, semalam.

Sebelum ini, media melaporkan Belanjawan 2023 akan dibentangkan awal iaitu pada 7 Oktober 2022 yang sebelum ini dijadualkan pada 28 Oktober 2022.

Perkara tersebut turut disahkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Katanya, sesi sidang Mesyuarat Ketiga Penggal Kelima Parlimen Ke-14 (2022) juga diawalkan pada 3 Oktober hingga 29 November 2022 bagi Dewan Rakyat (32 hari) dan 21 November hingga 7 Disember 2022 (11 hari) bagi Dewan Negara, dipercepatkan 23 hari daripada takwim asal.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru