Wednesday, November 30, 2022

Anda mahu Mahathir jadi PM sekali lagi?

Secara Rawak

Sekali lagi Tun Dr Mahathir Mohamad berkata dia sanggup menyandang jawatan perdana menteri buat kali ketiga jika didesak berbuat demikian dan tiada pilihan lain.

Mahathir pernah menjadi Perdana Menteri selama 22 tahun dari 1981 hingga 2003 ketika menjadi Presiden Umno dan Pengerusi BN.

Di bawah kerajaan PH, beliau sekali lagi menjadi Perdana Menteri selama 22 bulan selepas PH berjaya menumbangkan BN dalam PRU-14 pada 2018.

Mahathir kelihatannya begitu taasub untuk menjadi Perdana Menteri.

Beliau bagai tidak puas berada di kerusi itu selama hampir 24 tahun.

Pada usia 97 tahun, ramai berpendapat atuk perlu berehat meskipun kenyataan ini pasti tidak dipersetujui oleh penyokong tegar ahli parlimen Langkawi itu.

Bagaimanapun, Mahathir berkata dia tidak mahu menjadi perdana menteri untuk penggal penuh tetapi mungkin hanya satu tahun.

Ini bukan satu kenyataan baharu. Sebelum ini pun kita pernah mendengar janji Mahathir untuk berada di kerusi empuk itu selama dua tahun. Dan selepas itu beliau akan serahkan kepada presiden PKL Datuk Seri Anwar Ibrahim. Tetapi kita tentu sudah tahu apa yang berlaku. Adakah Mahathir menepati janjinya? 

“Saya lebih suka berehat (dan) masih memainkan peranan sebagai penasihat tetapi jika orang terus mendesak saya, sukar untuk saya memikirkan diri sendiri sahaja,” Mahathir dipetik sebagai berkata.

“Jadi jika mereka terus mendesak saya sehingga tiada orang lain, saya akan terima (menjadi perdana menteri semula), tetapi tidak selama lima tahun lah. Mungkin satu tahun sahaja,” kata Mahathir semasa acara ‘Hard Talk with Dr Mahathir’ di Pusat Konvensyen Bangi  semalam.

Persoalannya,  berapa orangkah yang boleh percaya kepada janji Mahathir itu?

Selepas berkuasa, tentu Mahathir akan kata, masih ramai yang mahu beliau terus menjadi Perdana Menteri.

Bukankah Mahathir terkenal sebagai pemimpin yang cakap lain buat lain?

Mahathir  dipetik berkata dia tidak mahu orang ramai menganggap dia menubuhkan Pejuang dan Gerakan Tanah Air (GTA) selepas meninggalkan Bersatu untuk melonjakkan dirinya semula ke jawatan perdana menteri.

“Saya hanya mahu memastikan dasar yang membantu orang Melayu dapat dilaksanakan oleh kerajaan yang prihatin dan penyayang kepada rakyat, negara dan agama,” katanya.

Jangan fikir anda seorang yang dapat mengubati penyakit di negara ini.

Kepada Mahathir, saya hendak nyatakan, cukuplah.  Jangan fikir anda seorang yang layak menjadi perdana menteri. Jangan sama sekali berfikir, orang lain tidak pandai. 

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru