Saturday, December 3, 2022

Rumah panjang mesra Muslim: Hasutan berniat jahat, kata Nancy

Secara Rawak

KUCHING: Datuk Seri Nancy Shukri meluahkan kekecewaan apabila ada pihak yang memutar belit kenyataan berhubung ‘rumah panjang mesra Muslim’ sehingga mendakwa dirinya sebagai rasis.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) itu menegaskan, para pembaca tidak seharusnya melihat kepada tajuk utama sahaja apabila membaca isi  berita atau artikel.

Ahli Parlimen Parlimen Batang Sadong itu berkata demikian menjelaskan mengenai isu yang tersebar di media sosial ketika program Sarawak Perkukuh Ekosistem Pelancongan Islam bersama Pusat Pelancongan Islam (ITC), 15 September lalu.

“Pembaca seharusnya membaca secara keseluruhan segala inti berita agar mesej yang diterima tidak disalah tafsir.

“Apabila kita hanya membaca tajuk utama tanpa melihat isi berita, ia boleh menimbulkan salah faham sehingga menyebabkan isu seperti ini timbul,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media bersama wartawan berhubung klarifikasi isu rumah panjang mesra muslim di pejabat AOK Records, di sini pada Jumaat.

Menurutnya lagi, dirinya juga dikatakan cuba untuk berdakwah kepada masyarakat Dayak yang ada di rumah panjang susulan kenyataan tersebut.

Bagaimanapun katanya, orang ramai perlu tahu bahawa program itu diadakan khas untuk pemilik hotel, rumah inap dan spa yang berminat untuk mendapat pengiktirafan mesra Muslim.

“Saya tidak menyebut rumah panjang dalam program tersebut. Malah, pengiktirafan tersebut hanya diberikan sekiranya permohonan dibuat oleh pengusaha.

“Justeru, tidak pernah ada agenda tersembunyi untuk berdakwah atau sebagainya.

“Apa yang kita boleh capai menerusi pengiktirafan tersebut, para pengusaha dapat meningkatkan lagi hasil mereka kerana pengunjung atau pengguna lebih yakin terhadap perkhidmatan yang disediakan,” katanya.

Oleh itu, beliau menekankan agar masyarakat Dayak, khususnya tidak salah faham terhadap isu tersebut.

Beliau menambah, kenyataan yang ditularkan dalam media sosial hanyalah hasutan daripada pihak-pihak yang mempunyai niat yang tidak baik terhadap dirinya.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru