Wednesday, November 30, 2022

Nantikan acara ratu cantik terbesar November ini

Secara Rawak

BAU: Kumpulan YAST menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Tektonic Group, penaja platinum Final Ratu Cantik Pelancongan Antarabangsa 2022/2023, di sini, Khamis.

Majlis menandatangani MoU antara Pengasas dan Pengerusi Kumpulan YAST Esther Law Lee Poh dengan Pengarah Kumpulan Tektonic Lee Chin Teck turut disaksikan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah.

Esther yang merupakan pengerusi penganjur pertandingan berkenaan berkata, ratu cantik dari seluruh dunia akan menyertai beberapa siri aktiviti menarik.

Jelasnya, pertandingan berlangsung dari 11 hingga 27 November dan ratu cantik berkenaan akan bergerak ke Lundu pada 17 November.

“Program ini akan menjadi salah satu acara ratu cantik terbesar di Sarawak, Malaysia dan antarabangsa.

“Seramai 50 hingga 60 negara terlibat diwakili peserta dari negara masing-masing yang mengambil bahagian dalam acara ini,” katanya pada Sidang Media Miss Tourism International World Final 2022/2023, di City Food Village, Tasik Biru, di sini, kelmarin.

Esther turut memaklumkan, salah satu persinggahan acara itu adalah di Bau, sekali gus melancarkan galeri terapung.

Beliau berkata, lawatan tersebut juga dapat memberi pendedahan kepada peserta tentang keindahan di Bau.

“Selain itu, peserta akan terlibat dalam beberapa siri aktiviti sepanjang 18 hari itu termasuk aktiviti promosi, lawatan pelancongan, acara amal, fotografi dan penggambaran tarikan pelancong di Sarawak serta aktiviti yang akan direkodkan ke dalam Malaysia Book of Records,” tambahnya.

Antara aktiviti utama untuk acara 18 hari itu adalah Persembahan Songket Malam Amal, Pemerkasaan Wanita oleh YASTECH dan Laluan Jejak Antarabangsa.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru