Monday, December 5, 2022

Langkah promosi daerah Bau

Secara Rawak

BAU: Taman Delta Geo Sarawak yang merangkumi Daerah Bau membantu mempromosikan lagi daerah ini dengan keunikkan budaya dan landskap semula jadi.

Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan berkata, Taman Delta Geo Sarawak yang diiktiraf ini mampu meningkatkan taraf sosioekonomi masyarakat setempat.

Di samping, katanya, ia mengukuhkan lagi pembangunan sektor pelancongan di negeri ini.

“Justeru, Pesta Tasik Biru 2022 harus dijadikan platform untuk mempromosikan lagi keunikkan yang terdapat di Daerah Bau.

“Pesta ini menyemarakkan lagi semangat bersatu padu, memperluaskan peluang masyarakat untuk terlibat dalam aktiviti sosial demi memajukan diri masing-masing,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Pesta Tasik Biru 2022 dan Majlis Penyerahan Surat Hak Milik Tanah Seksyen 18 Kanun Tanah Negeri Bagi Dun Tasik Biru, di sini semalam.

Awang Tengah yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Terminal Perindustrian dan Pembangunan Usahawan berkata, pengelibatan pihak swasta adalah penting dalam mempercepatkan pembangunan dalam sesuatu kawasan.

Beliau berkata, kerjasama tersebut dapat memperluaskan rangkaian infrarstruktur dan menyediakan fasiliti yang diperlukan.

“Saya percaya dengan kerjasama ini, Bau akan berubah. Kita dapat lihat perancangan pembangunan di sekitar Tasik Biru ini.

“Ia mengubah landskap di sini dan ini penting supaya mewujudkan peluang kepada masyarakat setempat,” ujarnya.

Katanya, masyarakat di daerah ini dapat menikmati kemudahan untuk berekreasi malah meningkatkan pengelibatan masyarakat dalam perniagaan dan perusahaan.

Turut hadir, Timbalan Menteri Pengangkutan (Sungai dan Laut) Datuk Henry Harry Jinep, Timbalan Menteri Perusahaan Peladangan dan Komoditi Datuk Willie Mongin, Adun Batu Kitang Lo Khere Chiang, Pegawai Daerah Bau Anielia Siam.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru