Monday, December 5, 2022

Kerja penyukatan tanah NCR dilaksanakan berterusan

Secara Rawak

BAU: Kerja-kerja penyukatan tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) di negeri ini dilaksanakan secara berterusan, bukannya bermusim seperti yang dicanangkan oleh sesetengah pihak.

Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan berkata, Kerajaan Sarawak di bawah kepimpinan Premier Sarawak telah memperuntukkan RM40 juta untuk meneruskan penyukatan tanah di negeri ini.

Katanya, ia bertujuan untuk membantu rakyat di negeri ini dalam kerja penyukatan tanah di samping memiliki surat hak milik tanah.

“Ini (kerja penyukatan tanah) dilakukan setiap masa. Bukan disebabkan oleh pilihan raya.

“Kerajaan Sarawak sentiasa mengiktiraf tanah NCR yang mempunyai bukti yang mencukupi dan berlandaskan kepada perundangan sedia ada,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Pesta Tasik Biru 2022 dan Majlis Penyerahan Surat Hak Milik Tanah Seksyen 18 Kanun Tanah Negeri Bagi Dun Tasik Biru, di sini semalam.

Justeru Awang Tengah yang juga Menteri Sumber Asli Dan Pembangunan Bandar II berkata, kerja penyukatan tanah NCR diteruskan selagi terdapat pemohonan daripada pemilik.

Malah katanya, kerja penyukatan bagi kampung tradisi untuk disukat di bawah Seksyen 18 turut diteruskan selagi terdapat pemohonan.

Dalam pada itu, beliau berkata, pemilik surat hak milik tanah NCR harus membangunkan tanah masing-masing untuk tujuan pertanian.

Katanya, pemilik tidak seharusnya mengambil jalan singkat dengan tidak mengusahakan tanah mereka untuk tujuan pertanian.

“Apatah lagi sekarang ini kemudahan sudah ada, senang untuk memasarkan produk ke Kuching,” ujarnya.

Seramai 305 surat hak milik tanah Seksyen 18 diserahkan kepada 78 penerima dari Kampung Senibung di bawah inisiatif baharu NCR, 126 penerima dari Kampung Barieng Singai di bawah inisiatif baharu NCR dan 101 penerima dari Kampung Skibang di bawah penyukatan Kampung Tradisi.

Turut hadir, Timbalan Menteri Pengangkutan (Sungai dan Laut) Datuk Henry Harry Jinep, Timbalan Timbalan Menteri Perusahaan Peladangan dan Komoditi Datuk Willie Mongin, Adun Batu Kitang Lo Khere Chiang, Pegawai Daerah Bau Anielia Siam.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru