Wednesday, November 30, 2022

Jambatan Bau Bicentennial Tasik Biru diinspirasikan daripada Waihi

Secara Rawak

BAU: Jambatan Bau Bicentennial Tasik Biru dibuka secara rasmi kepada orang ramai sempena ulang tahun ke-200 Bau, Khamis.

Adun Tasik Biru Datuk Henry Harry Jinep berkata, jambatan itu merupakan mercu tanda baharu di Bau. Menurutnya, kewujudannya turut mengimbau kembali nostalgia jambatan lama konkrit berwarna merah yang pernah wujud di sini.

“Apabila berjumpa dengan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, saya meminta peruntukan tambahan dan beliau meluluskan peruntukan RM1 juta melalui Projek Transformasi Luar Bandar untuk membina jambatan itu.

“Konsep reka bentuk jambatan ini diinspirasikan daripada Waihi, New Zealand.

“Ia adalah bekas bandar perlombongan emas yang bertukar menjadi tempat pelancongan, jadi kami mengambil ilham daripada jambatan di sana dan melaksanakannya di sini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Jambatan Bau Bicentennial di sini, kelmarin.

MERCU TANDA… Harry Jinep bersama-sama Anielia Siam, Lee Chin Teck serta yang lain semasa merasmikan
Jambatan Gantung Tasik Biru, Bau kelmarin. Foto GHAZALI BUJANG

Menurut Jinep lagi, beliau bersyukur kerana jambatan itu akhirnya siap dan dibuka kepada orang ramai. Orang ramai jelasnya, boleh berjalan melalui denai Miner’s Walk untuk ke sebuah kuil dan lintasan pontun Tasik Biru.

“Ia hanya satu kilometer berjalan kaki… ia sejuk kerana pokok-pokok melindungi daripada matahari.

“Saya menggalakkan semua orang datang dan meneroka, kerana ia mempamerkan alam semula jadi yang indah dan ia juga baik untuk kesihatan,” tambahnya.

Pembinaan jambatan itu bermula pada 2019 tetapi kemajuannya perlahan disebabkan pandemik Covid-19.

“Tiada bayaran dikenakan kepada orang ramai kerana ia dibina oleh kerajaan untuk rakyat.

“Bagaimanapun, jambatan itu hanya boleh memuatkan sekitar 20 orang kerana had berat.

Jadi nasihat saya berhati-hati dan jangan pergi secara sekali gus,” katanya. Pada masa sama, Jinep turut mendedahkan bahawa terdapat rancangan untuk membina platform pemerhatian iaitu Tanju Ninyau untuk pengunjung menikmati pemandangan itu. Pegawai Daerah Bau Anielia Siam dan Pangarah Urusan Tecktonic & Sons, Lee Chin Teck turut hadir.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru