Saturday, December 3, 2022

Isu gaji SU FC perlu diselesaikan segera oleh kelab yang mentadbir

Secara Rawak

ASAJAYA: Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Datuk Seri Abdul Karim Hamzah memberi saranan supaya Persatuan Bola Sepak Negeri Sarawak (FAS) menggunakan khidmat jurulatih dan pemain mengikut kemampuan kelab untuk memastikan nama Sarawak tidak tercalar dalam kancah bola sepak tempatan.

Menurutnya, isu tunggakan gaji pemain dan pegawai yang membelenggu pasukan Sarawak United FC (SU FC) adalah di luar bidang kuasa pihaknya memandangkan kelab itu ditadbir oleh badan luar Sarawak.

“Kita tidak dapat campur tangan terlalu mendalam kerana liga pada masa ini adalah melibatkan kelab-kelab. Liga dalam Malaysia diatur oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

“Nama sahaja Sarawak tapi sebenarnya Sarawak United itu kalau kita lihat yang mentadbir adalah satu badan di luar Sarawak, mereka menggunakan nama Sarawak, sebab itulah FAS perlu terbuka memaklumkan kepada kita,” katanya ketika mengulas isu tunggakan gaji pegawai dan pemain SUFC yang dikatakan masih belum selesai pada sidang media di Kompleks Sukan Asajaya hari ini.

Mengulas lanjut, Karim mengakui adalah lebih baik mengambil pemain-pemain yang berkebolehan daripada mengambil keputusan yang boleh menyebabkan penyakit kepada diri sendiri.

“Kalau tidak mampu bayar gaji-gaji pegawai ataupun pemain dengan bayaran besar, jangan ambil.

“Ramai pemain-pemain bola di luar yang boleh bermain dengan baik tetapi tidak perlu dibayar sehingga RM30,000 atau RM40,000.

“Inilah yang menyebabkan kadang-kadang mereka menghadapi masalah, bayar gaji sampai RM40,000 sebulan tetapi sumber kewangan tiada,” tegasnya.

Dalam pada itu, beliau berharap FAS dapat berbincang dengan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk memberikan subsidi lebih kepada Sabah dan Sarawak.

“Saya mengatakan begitu kerana kalau kita nak main tempat sendiri dan tempat lawan, pasukan Sarawak perlu 13 kali menggunakan pesawat walhal negeri di semenanjung hanya perlu dua kali.

“Subsidi yang diberikan kepada Sabah dan Sarawak sepatutnya jauh lebih daripada apa yang diberikan kepada semenanjung,” ujarnya.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru