Saturday, December 3, 2022

Chong: Nafi kembali ke Bandar Kuching

Secara Rawak

KUCHING: Pengerusi DAP Sarawak Chong Chieng Jen menafikan bahawa dirinya kembali untuk bertanding di kerusi lamanya iaitu Parlimen Bandar Kuching pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) akan datang.

Jelasnya, setakat ini, perkara tersebut hanya khabar angin yang tidak berasas oleh individu yang tidak bertanggungjawab.

Menurutnya, beliau akan kekal mempertahankan kerusi Parlimen Stampin yang dimenanginya pada PRU lalu.

“(Bertanding di kerusi Parlimen Kuching) hanyalah khabar angin yang tidak berasas dan saya sendiri tidak tahu dari mana datangnya spekulasi tersebut.

“Yang pasti, saya akan kekal dan bertanding di kerusi Parlimen Stampin selagi tiada perubahan besar dilakukan dalam masa terdekat,” katanya ketika ditanya pemberita dalam sidang media di Ibu Pejabat DAP, kelmarin.

Dalam perkembangan berlainan, Chong menggesa agar perubahan kerajaan dilaksanakan secepat mungkin bagi mengawal isu dan inflasi kejatuhan wang Ringgit Malaysia (RM) yang kini berada pada tahap membimbangkan.

Tegasnya, situasi RM terkini yang mencecah di bawah 24 tahun berbanding mata wang dolar Amerika Syarikat (USD) mencerminkan pengurusan kewangan Kerajaan Persekutuan yang teruk.

Beliau percaya kerajaan PH mampu menangani krisis tersebut sekiranya diberi peluang untuk menerajui negara.

“Apabila PH berkuasa, kita telah cuba memperbaharui sistem dengan memperkenalkan insiatif pembiayaan yang bertanggungjawab serta mengurangkan beberapa peruntukan demi mengekalkan imbangan akaun negara.

“Langkah itu mungkin tidak popular, namun ia dilaksanakan untuk memastikan tabung kerajaan seimbang dan kekuatan kewangan negara kekal,” katanya.

Reformasi yang diperkenalkan oleh PH bagaimanapun tidak kekal lama susulan Kerajaan PH tumbang pada 2020.

Dedah Chong, hutang negara kini mencecah lebih RM1 trilion dan bagi mengurangkan perbelanjaan secara boros, beliau mengesyorkan untuk menghentikan perkara-perkara berkaitan rasuah.

“Dengan usaha kerajaan berbelanja tanpa kawalan, kadar Bank Negara akan meningkat sekali gus tidak membantu dalam mengurangkan inflasi,” ujarnya.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru