Sunday, October 2, 2022

Sasar kuasai kegiatan ekonomi

Secara Rawak

KABONG: Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Kabong menyasarkan untuk menguasai 60 peratus kegiatan ekonomi di daerah ini demi manfaat serta pulangan kepada ahli.

Pengurusnya Sahariya Tahot memberitahu, PNK Kabong mempunyai perancangan tersendiri bermula tahun ini sehingga 2027

“Dalam rancangan lima tahun akan datang, kita menyasarkan untuk membangunkan beberapa projek seperti medan selera ikan bakar, stesen minyak e-diesel, stesen minyak komersial, projek Chalet Siar Star Park dan mini mart.

“Ini kerana hasrat untuk menjadi pemain penting pembangunan ekonomi di sekitar Kabong melalui pengeluaran produk khususnya dalam kalangan nelayan.

“Selain mengharapkan PNK Kabong terus maju dan kukuh dari sudut ekonomi dengan dapat menguasai 60 peratus kegiatan ekonomi di sini, yang mana manfaatnya kelak kepada masyarakat terutama ahli PNK sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Suara Sarawak selepas ditanya lanjut tentang rancangan lima tahun PNK Kabong di sini, semalam.

Jelasnya, PNK Kabong sejak Januari hingga Ogos mencapai tahap A1, iaitu menjadi antara PNK yang mendapat keuntungan terbaik berada pada kedudukan lima teratas daripada keseluruhan PNK di negeri ini.

Justeru untuk mencapai sasaran tersebut, Sahariya menambah pihaknya harus mempunyai hubungan baik dengan wakil rakyat, yang sememangnya mendokong rancangan PNK.

Selain jalinan yang baik dengan agensi seperti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (Mafi) sebagai pihak yang menyalurkan peruntukan ke arah pembangunan PNK Kabong.

“Begitu juga peranan dan sokongan agensi lain seperti Majlis Daerah Saratok, Pejabat Daerah Kabong, bomba, kastam dan sebagainya.

“Saya mewakili ahli nelayan berterima kasih kepada Adun Kabong Mohd Chee Kadir atas sokongan padu terhadap perancangan PNK terutama dalam usaha memakmurkan lagi Pantai Tanjung Kembang dengan pembinaan chalet dan medan selera.

“Kita diyakini akan merancakkan ekonomi penduduk setempat kerana kita akan membuka peluang kepada mereka memasarkan produk masing- masing di situ kelak.

“Begitu juga pembinaan stesen minyak apabila dapat direalisasikan dengan sistematik kelak, penduduk akan menikmati harga yang berpatutan,” ujarnya.

Beliau terdahulu mengiringi Chee ke sesi taklimat bersama-sama Ahli Lembaga Pengarah PNK Kabong.

Selain fokus kepada rancangan lima tahun PNK, Sahariya turut membentangkan profil PNK Kabong khususnya dari segi kawasan pengoperasian yang melibatkan beberapa kampung sekitar.

Untuk rekod, PNK Kabong telah menyenaraikan beberapa projek ekonomi seperti perniagaan minyak, pemasaran ikan, Projek Yellow Cafe and Yellow Inn dan projek usahasama burung walit. Pengerusi PNK Kabong Darmizan Daud turut hadir.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru