Sunday, October 2, 2022

Sarawak perlukan kemudahan data raya

Secara Rawak

KOTA SAMARAHAN: Perbadanan Ekonomi Digital Sarawak (SDEC) akan membantu membangunkan sistem pengurusan penyelidikan untuk Institut Penyelidikan Gambut Tropika Sarawak (Tropi).

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, perkara tersebut penting memandangkan Tropi memerlukan kemudahan bagi data besar.

“Disebabkan Tropi memerlukan kemudahan data raya, saya mengambil peluang untuk mengumumkan SDEC akan membantu dalam transformasi digital Tropi.

“Ia adalah dengan membangunkan Sistem Pengurusan Maklumat Penyelidikan atau RIMS untuk institusi tersebut sekali gus akan membantu mempercepatkan kerja, memproses, meminimumkan ralat dan menyimpan data dalam arkib Tropi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Gala sempena Persidangan AsiaFlux 2022, di Tropi Kota Samarahan dekat sini.

Tambahnya, data asas penting dalam usaha Sarawak bergerak ke hadapan ke arah kemampanan alam sekitar.

“Dengan adanya RIMS untuk meningkatkan kecekapan Tropi, Sarawak pada masa yang sama akan dapat menarik kerjasama penyelidikan global,” ujarnya.

Dalam hal berkaitan, Abang Johari memaklumkan pada 2017 beliau telah melawat Finland dan melihat stesen SMEAR II Universiti Helsinki (Stesen untuk Mengukur Hubungan Ekosistem-Atmosfera) di Stesen Medan Perhutanan Hyytiälä.

Menurutnya, para saintis di stesen penyelidikan yang dibiayai oleh EU ini menjalankan penyelidikan pelbagai disiplin mengenai peranan hutan dan tanah gambut dalam perubahan iklim, memfokuskan pada hutan, tanah gambut dan atmosfera.

“Justeru, Sarawak berbangga menjadi satu-satunya negeri di Malaysia yang mempunyai tiga menara Eddy Flux di tanah gambut tropika yang telah menjana jumlah besar fluks mentah dan data meteorologi setiap bulan selama lebih daripada 10 tahun.

“Inilah satu pencapaian yang sangat cemerlang. Tropi telah mengumpul data secara manual dan melalui sistem kendiri.

Untuk itu, saya memuji ketekalan, ketelitian, dan usaha institusi ini dalam mengumpul set data ini bertahun-tahun sebelum ramai yang menyedari nilainya,” jelasnya. Abang Johari memaklumkan, untuk mengumpul, memproses, dan menyimpan arkib data daripada tiga menara selama 12 tahun yang lalu memerlukan kemudahan data besar.

“Tropi perlu mengurus proses aliran kerja yang kompleks, kemasukan data, pemprosesan data dan penyimpanan data, terutamanya untuk inventori karbon gambut, sebagai sebahagian daripada inisiatif Sarawak bagi mengawal selia dan mengukur aktiviti karbon hutan untuk mencapai Kelestarian Alam Sekitar,” tegasnya.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru