Sunday, October 2, 2022

Sarawak negeri tunggal miliki tiga menara fluks

Secara Rawak

KOTA SAMARAHAN: Sarawak merupakan satu-satunya negeri di dalam Malaysia mempunyai tiga menara fluks, kata Dr Lulie Melling.

Pengarah Institut Penyelidikan Tanah Gambut Tropika Sarawak (Tropi) itu berkata, ketiga-tiga menara yang beroperasi lebih 10 tahun itu terletak di lokasi strategik di Ladang Kelapa Sawit Naman, Sibu, Ladang Cermat Ceria dan Taman Negara Maludam, Betong.

“Sarawak berbangga menjadi sebahagian rangkaian ini, Tropi menjadi perintis tiga menara tersebut dengan sokongan penuh Kerajaan Sarawak dan mendapat kerjasama Universiti Hokkaido serta Institut Kajian Alam Sekitar Kebangsaan di Jepun (NIES),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Gala sempena Persidangan AsiaFlux 2022 di Kota Samarahan.

Sehubungan itu, tambah Dr Lulie, tanah gambut negeri ini memainkan peranan utama dalam memenuhi komitmen iklim di Malaysia.

“Perkara tersebut susulan Malaysia bersetuju bahawa ia akan mengurangkan intensiti pelepasan gas rumah hijau berasaskan KDNK sebanyak 45 peratus menjelang 2030 berbanding tahap 2005 semasa Persidangan Ke-26 Konvensyen Rangka Kerja Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNFCCC COP-26) di Glasgow tahun lalu.

“Kawasan tanah gambut Sarawak, memainkan peranan utama kerana kolam karbon yang besar dan kebanyakannya terganggu susulan perubahan guna tanah, cuaca dan iklim yang melampau.

Negeri ini memainkan peranan penting dalam memenuhi komitmen dan cita-cita iklim negara,” ujarnya.

Menjelas mengenai persidangan tersebut, Dr Lulie memaklumkan terdapat lebih 100 delegasi memgambil bahagian melibatkan Jepun, Korea Selatan, Indonesia, Kanada, Estonia, Jerman, Hong Kong, Mongolia, China dan Amerika Syarikat.

Menurutnya, pembentangan juga dilaksanakan dengan dua format iaitu lisan dan poster.

“Adalah menjadi penghormatan besar untuk Sarawak, Tropi, Persatuan Gambut Malaysia dan Jawatankuasa Pemandu Sains AsiaFlux menjadi tuan rumah Persidangan AsiaFlux edisi 2022,” ujarnya.

Dalam hal berkaitan, beliau memberitahu persidangan ini menyediakan ruang kepada saintis untuk membentangkan penemuan penyelidikan terkini dan amalan terbaik mereka, di samping mewujudkan peluang bagi meningkatkan kerjasama dalam kalangan komuniti saintifik.

“Selain itu, ia juga mewujudkan platform untuk meningkatkan dan menggalakkan kesedaran dalam kalangan kerajaan, pihak berkepentingan industri dan orang awam, tentang kepentingan kitaran gas rumah hijau dalam menentukan dasar guna tanah yang mampan dan implikasinya.

“Sepanjang dua hari yang lalu, kami telah mengadakan latihan tentang teori pengukuran fluks GHG dan aplikasi alat pengukuran fluks pusaran, yang dianjurkan dengan kerjasama Campbell Scientific.

“Selain itu, delegasi persidangan akan mempunyai peluang untuk meneroka dan merasai pengalaman dalam hutan paya gambut tropika melalui lawatan lapangan ke Taman Negara Maludam pada 22 hingga 23 September ini,” jelasnya.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru