Saturday, September 24, 2022

Sarawak bakal keluarkan keju mozzarella halal

Secara Rawak

KUCHING: Sarawak bakal memiliki kilang pemprosesan keju mozzarella halal daripada susu kerbau menjelang tahun 2024.

Kilang yang terletak di Ladang Kerbau Meragang di Lawas berpotensi menjadi pengeluar keju, malah mampu menghasilkan 5,000 liter susu setiap hari untuk membuat keju.

Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Datuk Seri Dr. Stephen Rundi Utom berkata, dengan wujudnya komuniti yang menternak kerbau di sana, ia akan memudahkan usaha tersebut.

“Sekarang, hampir 6,000 sehingga 7,000 ekor kerbau diternak oleh sekitar 600 penduduk di kawasan ini.

“Jadi, kita yakin bahawa ia dapat membantu dari segi pengeluaran keju. Potensi mereka turut diperakui oleh Greenvalley Sdn Bhd,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan majlis menandatangani Perjanjian Maragang Greenvalley Dairy Sdn Bhd untuk Projek Pembiakan Kerbau dan Pembuatan Keju Stesen Penternakan Kerbau, Maragang, Lawas di Hotel Imperial di sini, kelmarin.

Justeru katanya, kementerian tersebut akan memberi sokongan terhadap usaha bagi memastikan hasrat tersebut dapat dicapai.

Menurutnya lagi, sekiranya usaha yang dilakukan ini berjaya, ia akan dikembangkan lagi di kawasan lain pada masa akan datang.

Sementara, Timbalan Menteri Pemodenan Pertanian dan Pembangunan Wilayah (Pemodenan Pertanian) Datuk Dr. Abdul Rahman Ismail turut memberi jaminan bahawa Pertubuhan Peladang Negeri Sarawak(PPNS) akan melakukan yang terbaik bagi menjayakan usaha pembiakan kerbau di ladang tersebut.

“Menerusi usaha ini, kita berhasrat meningkatkan lagi tahap sara diri kepada 30 peratus (kini 12 peratus) menjelang 2030, dan 50 peratus pada tahun 2050.

“Kita akan berusaha untuk memastikan projek ini berjaya agar dapat menjadi pengeluar keju pertama di lembah keju borneo menjelang akhir 2024,” katanya ringkas.

Dalam pada itu, Rundi sempat memberi komen berhubung nama baharu kementerian yang secara rasminya diumumkan oleh Premier, semalam.

“Fungsi kementerian masih dikekalkan, tetapi hala tuju akan lebih bertumpu kepada usaha untuk mengkomersialkan industri- industri yang ada bagi menjana hasil,” katanya ringkas.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru