Saturday, September 24, 2022

Perubahan besar dalam sistem keadilan negara

Secara Rawak

KUCHING: Kesungguhan kerajaan hari ini untuk menjayakan pelaksanaan pemansuhan hukuman mati mandatori diberikan penghargaan oleh semua parti politik, yang disifatkan tindakan positif ke arah mengubah dasar hukuman mati di negara ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, kerajaan komited memastikan pemansuhan hukuman mati mandatori dilaksanakan dengan jayanya susulan persetujuan kerajaan pada 8 Jun lalu kepada hukuman gantian tertakluk kepada budi bicara mahkamah.

“Bagi maksud tersebut, saya mengadakan sesi libat urus bersama-sama ahli Dewan Rakyat dan wakil Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH) pada Selasa di Parlimen Malaysia.

“Secara umum, ahli yang hadir menyuarakan penghargaan kepada kerajaan atas kesungguhan menjayakan pelaksanaan pemansuhan hukuman mati mandatori itu.

“Saya dan rakan-rakan ahli parlimen berkongsi objektif yang sama untuk mengekalkan keadilan di negara ini demi kebaikan bersama,” katanya kelmarin.

Jelasnya, tindakan itu dilihat sebagai satu langkah positif dan progresif ke arah melaksanakan perubahan besar untuk polisi penghukuman di negara ini.

“Selain bagi memastikan penambahbaikan sistem perundangan keadilan Malaysia. Sesi libat urus ini penting sebagai suatu permulaan yang baik untuk memastikan pembentangan kesemua pindaan akta yang terlibat kelak pada sidang parlimen Oktober depan berjalan lancar,” ujarnya.

Wan Junaidi berkata, sebahagian input serta pandangan ahli yang hadir akan dilaksanakan dalam kajian lanjut fasa kedua pelaksanaan pemansuhan hukuman mati mandatori ini, antaranya merangkumi isu berkaitan pemenjaraan sepanjang hayat dan hukuman sebatan.

Sesi tersebut turut dihadiri pegawai kanan Kementerian Dalam Negeri, Jabatan Peguam Negara dan Jabatan Penjara Malaysia.

Pada sesi itu juga, turut dibincangkan mengenai perkara lain seperti status moratorium pelaksanaan hukuman mati terhadap 1,337 banduan yang telah dijatuhkan hukuman mati. Termasuk, cadangan hukuman gantian terhadap 11 kesalahan yang diperuntukkan hukuman mati mandatori dan 23 kesalahan yang membawa hukuman mati dengan budi bicara mahkamah.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru