Sunday, October 2, 2022

Pertimbang kenaikan insentif untuk penjawat awam

Secara Rawak

KUCHING: Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) Sarawak (CNS) meminta kerajaan agar mempertimbangkan kenaikan Bayaran Insentif Wilayah (BIW) kepada penjawat awam di Sarawak dan Sabah dalam Belanjawan Negara yang akan dibentang 7 Oktober nanti.

Pengerusi CNS Omar Bahrein Unin berkata, pihaknya bersungguh-sungguh memohon kenaikan BIW tersebut memandangkan elaun Kos Sara Hidup (COLA) bagi PA di Semenanjung Malaysia telah naik sebanyak RM50 sejak Januari 2020.

“Justeru, tiada kebersamaan dalam konteks menangani kos sara hidup PA di Semenanjung Malaysia dan Sarawak jika BIW tidak dinaikkan bersama dengan kenaikan COLA.

“Dari segi kos sara hidup di Semenanjung Malaysia dan Sarawak tetap sama dengan peningkatan perbelanjaan yang tidak dapat dielakkan,” katanya menerusi kenyataan, kelmarin.

Sehubungan itu, beliau memaklumkan CNS juga menyokong Cuepacs Pusat supaya kerajaan memberi tumpuan untuk melaksanakan Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) yang baharu melalui Belanjawan 2023 bagi memperkasakan sistem perkhidmatan awam negara.

Menurunnya, Cuepacs juga menghantar cadangan SSPA kepada kerajaan untuk dipertimbangkan.

“Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semasa Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam pada 30 Ogos lalu telah memaklumkan supaya kajian ke atas SSPA disegerakan untuk boleh dilaksanakan dalam masa terdekat.

“SSPA baharu perlu dilaksanakan segera dengan mengambil kira keseluruhan aspek modal insan melibatkan saraan dan perkhidmatan agar kekal relevan dengan keperluan semasa PA.

“Pelaksanaan SSPA ini perlu merangkumi aspek gaji minimum yang baharu, sesuai dengan peningkatan kos sara hidup semasa serta keperluan latihan dan pembangunan bagi meningkatkan kecekapan perkhidmatan awam,” ujarnya.

Beliau memaklumkan, kedua-dua perkara tersebut perlu selari bagi memastikan PA dapat menyampaikan sistem perkhidmatan awam dengan lebih berkesan kepada rakyat yang sentiasa dahagakan perkhidmatan terbaik.

“Ketika ini, sektor swasta telah melaksanakan gaji minimum RM1,500 berkuat kuasa 1 Mei lalu dan ia wajar diikuti sektor awam untuk mengimbangi keperluan semasa penjawat awam.

“Dengan pemansuhan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) oleh kerajaan, ia telah menjadikan kelayakan memasuki perkhidmatan kerajaan ketika ini adalah minimum Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan had gaji permulaannya boleh ditingkatkan.

“Cuepacs yakin penetapan gaji minimum baharu untuk sektor awam dengan diikuti latihan dan pembangunan mampu meningkatkan kecekapan sistem penyampaian perkhidmatan awam kepada rakyat,” tegasnya.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru