Sunday, October 2, 2022

Lelaki terima padah lakukan ugutan jenayah

Secara Rawak

KUCHING: Seorang jurukimpal dijatuhi hukuman denda RM1,500 atau penjara dua bulan oleh Mahkamah Majistret, di sini, hari ini, kerana melakukan ugutan jenayah dengan mengajak seorang lelaki bergaduh dalam satu kejadian di sebuah kuarters di Jalan Durian Burung, 18 September lalu.

Majistret Syarifah Fatimah Azura Wan Ali menjatuhkan hukuman terhadap Patrick, 26, selepas mengaku bersalah atas satu pertuduhan di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang dibacakan di hadapannya.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa sengaja melakukan ugutan jenayah terhadap mangsa berusia 36 tahun di sebuah kuarters kediaman di sini, kira-kira jam 6 petang, 18 September lalu.

Sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Menurut fakta kes, semasa kejadian mangsa(pengadu) yang memandu sebuah kereta berada berhampiran sebuah stesen minyak di Jalan Datuk Bandar Mustapha telah ditahan sebuah motosikal yang dinaiki sepasang suami isteri.

Penunggang motosikal (tertuduh) itu lalu mencabar mangsa dengan membawa bergaduh namun mangsa tidak mengendahkan ajakkan tertuduh.

Pengadu kemudian terus beredar dari kawasan stesen minyak terbabit lalu pulang menuju ke kuarters kediaman di Jalan Durian Burung, namun demikian, pengadu mendapati tertuduh mengekorinya ke kuarters tersebut.

Setiba di kuarters tersebut, tertuduh masih mengajak pengadu bergaduh dan isteri tertuduh juga berusaha menenangkannya supaya tidak bertindak demikian kerana dia dalam keadaan mabuk.

Tertuduh kemudian mengambil gambar kereta pengadu yang merupakan milik Kerajaan Negeri dan menyatakan akan mencari pengadu semula.

Selepas kejadian, pengadu terus membuat laporan polis untuk tindakan dan siasatan lanjut seterusnya membawa kepada penangkapan tertuduh sehari selepas kejadian.

Pendakwaan kes dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Inspektor Mohd Adzmei Ahmad manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru