Sunday, October 2, 2022

Ambil kira demografi pengundi

Secara Rawak

SIBU: Sebarang usaha menambah bilangan kerusi parlimen di bawah cadangan mengembalikan 35 peratus perwakilan ahli parlimen dari Sabah dan Sarawak mesti mengambil kira perbezaan besar pengundi dan struktur kaum di kawasan masing-masing.

Ahli Parlimen Sibu Oscar Ling Chai Yew berkata, di bawah struktur semasa, bilangan pengundi berbeza empat hingga lima kali ganda di beberapa kawasan di Sarawak.
“Ini adalah sangat tidak adil dan sekiranya kerusi baharu dibentuk, pertimbangan mesti diambil untuk perhalusi serta menyelesaikan perbezaan besar dalam nisbah pengundi,” katanya menerusi satu kenyataan, kelmarin.

Beliau berkata demikian mengulas pengumuman Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) Datuk Seri Dr Maximus Ongkili bahawa Majlis Khas Perjanjian Malaysia 1963 (MKMA63) tentang pengembalian 35 peratus kerusi Parlimen bagi Malaysia Timur daripada jumlah keseluruhan.

Daripada 31 kerusi parlimen Sarawak ketika ini, Ling berkata, kawasan terbesar di Miri mempunyai 142,503 pengundi, manakala kawasan terkecil di Igan hanya mempunyai 28,228 pengundi.

“Perbezaan besar dalam nisbah pengundi adalah tidak adil kepada ahli parlimen dan ini adalah sesuatu yang perlu diselaraskan dan diselesaikan,” katanya.

Menurutnya, daripada 31 kerusi parlimen itu hanya lima kawasan yang mempunyai lebih 50 peratus pengundi Cina.

Kawasan pilihan raya parlimen Sarawak lain yang mempunyai pengundi terbanyak ialah Stampin (120,334), Bintulu (112,865), Bandar Kuching (109,789), Petra Jaya (109,178) dan Sibu (105,470).

Ling berkata, adalah sangat baik untuk mempunyai lebih banyak kerusi tetapi jika penambahan kawasan hanya untuk meningkatkan peluang pihak tertentu memenangi pilihan raya, maka ia tidak akan memenuhi keperluan rakyat.

“Sebarang pertambahan bilangan kawasan parlimen mesti disertakan dengan reformasi pilihan raya demokrasi yang mantap untuk memastikan ia akan menjaga hak dan kepentingan Sabah dan Sarawak dan bukan sekadar memberi peluang kepada parti-parti tertentu,” tegasnya.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru