Sunday, October 2, 2022

Wanita tersepit, kereta bertembung dengan lori

Secara Rawak

SRI AMAN: Seorang wanita tersepit di tempat duduk penumpang (hadapan) apabila pacuan empat roda yang dinaikinya terbalik selepas bertembung dengan sebuah lori berhampiran Kem Pakit dekat sini, hari ini.

Ketua Bomba dan Penyelamat Zon Tiga Sri Aman Ramlan Marajan memberitahu, Chang Nyuk Seng, 44, bagaimanapun terselamat selepas berjaya dikeluarkan oleh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Sri Aman.

“Sebaik tiba di lokasi selepas dimaklumkan tentang insiden kira-kira 11.15 pagi, pasukan kita membuat pemeriksaan dan mendapati seorang wanita tersepit di dalam Toyota Hilux yang sudah terbalik.

“Kita terus mengeluarkan mangsa dan kemudian menyerahkannya kepada pasukan perubatan untuk di bawa ke Hospital Sri Aman,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Jelasnya, pemandu Hilux Law Nge Boon, 45, terdahulu berjaya keluar sendiri sementara pemandu lori berusia 44 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.

Dalam kemalangan di Jalan Saratok-Sarikei pula tambah Ramlan, pihaknya menerima panggilan kecemasan sekitar 10.59 pagi.

Menurutnya, kemalangan membabitkan pacuan empat roda jenis Mitsubishi Triton yang dinaiki empat lelaki berusia dalam lingkungan 20 hingga 28 tahun dan Perodua Kembara.

“Pemandu Kembara seorang warga emas disahkan cedera ringan dan diberikan rawatan awal oleh pasukan EMRS Bomba sebelum dihantar ke Hospital Saratok untuk rawatan lanjut,” katanya.

Difahamkan Triton dan Kembara itu masing-masing mengalami kerosakan pada bahagian hadapan dan belakang.

KEMALANGAN SRI AMAN… Toyota Hilux yang terbalik selepas berlanggar dengan sebuah lori berhampiran Kem Pakit dekat sini, hari ini.

 

 

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru