Monday, September 26, 2022

Tunai zakat melalui potongan gaji

Secara Rawak

BETONG: Tabung Baitulmal Sarawak (TBS) menggalakkan golongan berkemampuan untuk menunaikan zakat masing-masing melalui potongan gaji sebagai kaedah paling mudah.

Pengurus Besarnya Datuk Abang Mohd Shibli Abang Mohd Nailie menegaskan, setiap hak orang miskin ada pada mereka yang lebih mampu.

“Bahkan di dalam al-Quran sendiri jelas tentang kewajipan berzakat – dirikan kamu solat dan tunaikan zakat.

Namun, kadangkadang kita lupa menunaikannya.

“Justeru, saya menggesa orang yang mampu untuk menunaikan zakat kerana setiap hak orang miskin ada pada kita… dan cara terbaik dengan datang ke pejabat TBS terdekat atau paling mudah melalui potongan gaji.

“Tidak besar, kita mulakan dengan potongan sebanyak RM15, RM20.

InsyaAllah keberkatan dalam berzakat ini sangat besar,” katanya. Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyampaikan bantuan TBS kepada tujuh penerima di Dewan al-Husna Masjid Jamek Betong, kelmarin.

Jelasnya, bantuan berjumlah RM11,438 yang diagihkan ini hanya sebahagian kecil ekoran bantuan TBS berjalan setiap hari dan kebanyakan menerima secara terus ke dalam akaun.

Abang Mohd Shibli berkata, TBS sebagai organisasi unik berhadapan situasi yang mana orang berharap untuk mendapatkan bantuan demi kesejahteraan.

“Dalam soal ini kita memerlukan hubungan yang simbiotik antara satu sama lain. Yang pentingnya di sini orang yang memohon itu kena faham bahawa mereka betul-betul layak dan sebagainya.

jika tidak, kita mengambil hak orang yang sepatutnya,” ujarnya. Beliau turut memaklumkan tentang pembukaan pejabat TBS Cawangan Betong.

“Sejak dibuka pada Ogos lalu kita beroperasi di satu ruangan di Masjid Jamek Betong sementara menunggu pejabat siap, Insya-Allah pada November.

“Memang kita ingin mempercepatkannya supaya dapat memainkan peranan kerana apabila kita mempunyai prasarana sendiri, lebih cepat kita melengkapkannya untuk memenuhi keperluan masyarakat.

“Seperti cawangan lain, kita juga akan mempunyai satu ruang dinamakan Mini Ummah Distribution Centre.

Segala bekalan asas, makan minum dan sebagainya boleh diperoleh di situ. “Asalkan orang yang betul-betul berhak, iaitu hak yang ditetapkan di dalam al-Quran,” tambahnya.

Untuk rekod sehingga 31 Julai, TBS telah mengagihkan RM41.94 juta hasil agihan zakat kepada asnaf yang berhak melalui empat program utama seperti Program Mengukuhkan Tradisi Keilmuan, Program Pembangunan Institusi Islam, Program Memantapkan Kebajikan Ummah dan Program Peningkatan Kemahiran Ummah.

Ketua Bahagian Betong Ustaz Zulhazmi Bohari turut hadir.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru