Sunday, October 2, 2022

Padah ugut ibu angkat gara-gara RM50

Secara Rawak

KUCHING: Padah ugut jenayah ibu angkat sendiri kerana tidak mendapat wang RM50 yang diminta setiap hari untuk membeli makanan segera, seorang lelaki dijatuhi hukuman penjara enam bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, semalam.

Tertuduh Muhamad Yazid Yusup, 30, mengaku bersalah atas satu pertuduhan di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang dibacakan di hadapan Majistret Syarifah Fatimah Azura Wan Ali.

Syarifah Fatimah menetapkan tertuduh mula menjalani hukuman penjara dari tarikh tangkap 15 September lalu.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa melakukan ugutan jenayah terhadap mangsa berusia 64 tahun dengan mengeluarkan kata-kata ‘aku akan terus nagih duit ya dari kau kelak ari-ari. Mun sik sakit kau oleh aku kelak’.

Dia melakukan perbuatan itu di kediaman mereka di Jalan Samariang, Petra Jaya sekitar jam 12 tengah hari, 15 September lalu.

Sabit kesalahan boleh dihukum penjara tidak kurang setahun dan tidak melebihi lima tahun atau denda atau kedua- duanya sekali.

Menurut fakta kes, semasa kejadian, tertuduh merupakan anak angkat mangsa tiba-tiba marah kerana enggan menerima wang berjumlah RM30 dan memaksa ibunya memberikan RM50.

Tertuduh lalu bertindak agresif menendang paha kiri mangsa hingga menyebabkan kesakitan serta merampas telefon bimbit mangsa.

Bimbang akan keselamatan diri kemudian mangsa keluar dari rumah mereka seterusnya pergi ke balai polis untuk membuat laporan Hasil siasatan mendapati anak mangsa selalu meminta wang setiap hari berjumlah RM50 untuk membeli makanan segera seperti KFC dan mi Maggie.

Difahamkan, dia juga selalu bertindak agresif dan mengugut mangsa sekiranya tidak memberikan wang yang diminta.

Pegawai Pendakwa Inspektor Mohd Adzmei Ahmad memohon agar mahkamah menjatuhkan hukuman berat terhadap tertuduh sebagai pengajaran

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru