Sunday, October 2, 2022

Kadar inflasi di Malaysia antara terendah di dunia

Secara Rawak

KUALA LUMPUR:  Kadar inflasi kekal terkawal dengan kadar 4.4 peratus pada Julai 2022, kata Menteri Kewangan.

Menurut Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz,  bagi tujuh  bulan pertama tahun ini, inflasi ialah 2.8 peratus, antara kadar yang terendah di dunia. Ini jelasnya adalah disebabkan oleh bantuan subsidi berjumlah hampir RM80 bilion bagi menampung, antara lainnya, kawalan harga pelbagai barangan asas, Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) yang telah ditambah baik dan subsidi petrol.

“Tanpa pemberian subsidi kepenggunaan berkaitan, kadar inflasi negara dianggar meningkat antara 11 hingga 12 peratus,” katanya dalam satu kenyataan.

“Sehingga kini, Kerajaan telah meningkatkan keperluan perbelanjaan subsidi dan bantuan sosial kepada hampir RM80 bilion, lebih tinggi berbanding peruntukan asal Bajet 2022 sebanyak RM31 bilion,” jelasnya.

Ini termasuk menyediakan pelbagai bantuan sosial termasuk bantuan tunai langsung BKM dengan peruntukan RM8.2 bilion bagi tahun 2022.

Juga, katanya, akses mudah kepada barangan keperluan melalui diskaun Jualan Murah Keluarga Malaysia (JMKM) di 600 DUN dan 13 Parlimen seluruh negara.

Subsidi tersebut adalah juga untuk tujuan penstabilan harga makanan utama seperti ayam, telur dan minyak masak, serta harga bahan api melalui pemberian subsidi RON95 dan elektrik.

“Walaupun indikator ekonomi membuktikan bahawa kita berjaya bangkit daripada impak pandemik COVID-19 dan membendung inflasi, persekitaran luaran global semasa telah menjadi lebih tidak menentu,” katanya lagi.

Oleh sebab itu, Tengku Zafrul berkata, suku keempat 2022 dan tahun 2023 dijangka lebih mencabar kerana prospek ekonomi global bakal melembap, ekoran ketegangan geopolitik di antara Amerika Syarikat dan China yang berterusan, peperangan di Ukraine yang masih tiada kesudahan, serta dasar sifar COVID-19 di China yang telah menjejaskan bekalan rantaian dunia.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru