Monday, September 26, 2022

Ganjaran mencari Lee Chong Loong

Secara Rawak

KUCHING: Keluarga Lee Chong Loong yang hilang selepas dipercayai terjatuh dari jetski yang dibawanya di perairan Pulau Talang-Talang, Sematan menawarkan ganjaran kepada orang ramai yang berjaya menjumpainya.

Ganjaran berupa wang tunai RM30,000 diberikan jika mangsa berjaya dijumpai dan RM150,000 jika mangsa dijumpai hidup.

Menurut isteri mangsa, ganjaran ditawarkan kerana ingin suaminya dijumpai pada kadar segera.

“Saya mahu lebih ramai orang membantu mencari suami saya kerana sehingga sekarang dia masih belum dijumpai walaupun sudah beberapa hari pencarian,” katanya yang dihubungi, semalam.

Dalam pada itu, beliau juga menolak dakwaan bahawa suaminya diculik.

“Mustahil, sebab suami saya selalu bermain jetski di perairan Pulau Talang-Talang,” katanya.

Sementara, Pengarah Maritim Sarawak Zin Azman Md Yunus berkata setakat jam 3 petang semalam, Op Carilamat yang memasuki hari kelima masih gagal menjumpai mangsa.

“Tiada sebarang petunjuk baru ditemui oleh pasukan penyelamat setakat pencarian hari ini,” katanya.

Katanya Op Carilamat yang dikoordinasikan oleh Sub-Pusat Menyelamat Maritim (MRSC) Kuching, Maritim Malaysia merangkumi keluasan 94.14 batu nautika persegi dan jumlah keseluruhan pencarian adalah 776.09 batu nautika persegi.

Zin Azman menambah sektor pencarian dipecahkan kepada dua sektor utama meliputi kawasan pencarian di kawasan penemuan jetski dan kawasan Sematan/Lundu.

Katanya kawasan pencarian di perairan Sematan / Lundu dilakukan oleh polis, bomba dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

“Maritim mengatur gerak sebuah aset iaitu Kilat 35, Pasukan Polis Marin (PPM) sebuah aset iaitu RH 23, bomba sebuah bot aluminium dan sebuah bot fiber, APM tiga buah bot aluminimum, Pengawal Pantai Sarawak dua aset iaitu SC Senangin dan SC Baracuda termasuk unit dron PDRM,” katanya.

Chong Loong, 46, dilaporkan hilang semasa memandu jetski bersama-sama rakannya di sekitar perairan Pulau Talang- Talang Besar pada 17 September lalu.

Jetski mangsa kemudian dijumpai oleh bot pemancing pada jarak lebih kurang 8.2 batu nautika barat laut Tanjung Sipang.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru