Monday, September 26, 2022

Dokumentasi digital festival Gawai Antu

Secara Rawak

KUCHING: Inisiatif masyarakat Iban merekod, menyimpan dan mendokumentarikan festival Gawai Antu secara digital harus dicontohi pelbagai etnik lain yang terdapat di Sarawak.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, ia penting bagi mengekalkan warisan budaya mereka dengan serius untuk tatapan generasi akan datang.

“Usaha besar dengan merekod dan menyimpan adat warisan secara digital ini membolehkannya diambil semula untuk tontonan mahupun tujuan lain pada masa akan datang,” katanya.

Abang Johari berkata demikian pada Majlis Pelancaran Dokumentari Gawai Antu Rumah Panjang Gensurai Layar Betong di Muzium Budaya Borneo, di sini, semalam. Menurutnya, dokumentari tersebut merupakan usaha teladan mantan Timbalan Ketua Menteri, Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu Numpang sekeluarga agar sambutan tersebut dapat dipelihara dalam medium yang boleh ditonton oleh generasi muda masyarakat Iban dan orang luar.

“Ia juga menyediakan satu medium penting untuk mempamerkan aspek sosiobudaya Sarawak yang pelbagai untuk dikongsi dan dihayati oleh masyarakat luar. “Apa yang menarik perhatian saya adalah kemeriahan sambutan ini menjadi platform yang berkesan untuk interaksi antara budaya apabila masyarakat dari rumah panjang dan tempat lain, termasuk dari luar negara, turut menyertainya.

“Malah perayaan unik ini merupakan hubungan penting bagi menyediakan saluran untuk pendidikan budaya untuk sahabat kita dari luar negara,” tegasnya. Ujarnya lagi, pelancaran rasmi tayangan dokumentari tersebut merupakan inisiatif yang pertama dianjurkan oleh Muzium Budaya Borneo untuk berkongsi budaya warisan masyarakat tempatan dengan dunia luar.

“Saya difahamkan selepas pelancaran rasmi ini, akan ada satu atau dua kali tayangan serupa akan dianjurkan di muzium ini untuk berkongsi keunikan perayaan yang jarang berlaku ini dengan peminat budaya,” tambahnya.

Tambah Abang Johari, beliau yang turut menyertai sambutan Gawai Antu yang berlangsung pada 22 Disember 2018 itu juga sukar melupakan pengalaman berharga tersebut. “Saya masih ingat dengan jelas, terdapat beribu-ribu masyarakat dari pelbagai pelusuk turut datang memeriahkan sambutan tersebut.

Oleh itu, seluruh rumah panjang di Layar harus menzahirkan penghargaan atas usaha mendokumentasikan sepenuhnya acara ini dengan kualiti yang tinggi.

“Malah saya diberitahu bahawa persiapan untuk acara sebegini penuh dengan ritual mengikut sistem kepercayaan Iban yang mungkin berbeza dari satu tempat ke satu tempat,” jelasnya.

Lazimnya, sambutan Gawai Antu diadakan oleh masyarakat tempatan dalam tempoh 20 ke 25 tahun sekali kerana ia memerlukan persediaan yang rapi.

Perayaan untuk roh orang yang sudah meninggal dunia itu diadakan oleh saudara-mara yang masih hidup bagi memberikan penghargaan dan penghormatan tertinggi atas jasa baik yang telah dilakukan oleh nenek moyang dan ahli keluarga mereka.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru