Monday, September 26, 2022

Premier: SDEC bantu bangunkan sistem pengurusan penyelidikan Tropi

Secara Rawak

KOTA SAMARAHAN: Perbadanan Ekonomi Digital Sarawak (SDEC) akan membantu membangunkan sistem pengurusan penyelidikan untuk Institut Penyelidikan Gambut Tropika Sarawak (Tropi).

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, perkara tersebut penting memandangkan Tropi memerlukan kemudahan bagi data besar.

“Disebabkan Tropi memerlukan kemudahan data besar, saya mengambil peluang untuk mengumumkan SDEC akan membantu dalam transformasi digital Tropi.

“Ia adalah dengan membangunkan Sistem Pengurusan Maklumat Penyelidikan atau RIMS untuk institusi tersebut sekali gus akan membantu mempercepatkan kerja, memproses, meminimumkan ralat dan menyimpan data dalam arkib Tropi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Gala sempena Persidangan AsiaFlux 2022, di Tropi Kota Samarahan, malam tadi.

Tambahnya, data asas penting dalam usaha Sarawak bergerak ke hadapan ke arah kemampanan alam sekitar.

“Dengan adanya RIMS untuk meningkatkan kecekapan Tropi, Sarawak pada masa yang sama akan dapat menarik kerjasama penyelidikan global,” ujarnya.

Hadir sama Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan; Menteri Pemodenan Pertanian dan Pembangunan Wilayah Datuk Seri Dr Stephen Rundi; Menteri di Jabatan Premier Sarawak Datuk John Sikie; Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Datuk Len Talif Salleh; Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Datuk Francis Harden Hollis; Pengarah Tropi Sarawak merangkap Pengerusi Penganjur Asiaflux 2022, Dr Lulie Melling; Pengerusi Eksekutif Ta Ann Holdings Berhad Datuk Amar Abdul Hamed Sepawi serta wakil yang lain.

 

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru