Sunday, October 2, 2022

Pastikan hak dikembalikan

Secara Rawak

KOTA SAMARAHAN: Nisbah pembahagian kerusi mengikut populasi tidak akan menjejaskan gesaan tuntutan pengembalian hak 35 peratus kerusi parlimen untuk Sabah dan Sarawak.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), Datuk Seri Dr Maximus Ongkili menegaskan, apa yang lebih penting agar hak 35 peratus kerusi bagi kedua- dua negeri dapat dikembalikan seperti yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

“Saya berasakan objektif utama adalah untuk mengembalikan hak 30 ke 35 peratus itu, tapi nisbah yang digunakan mengikut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sama ada memberi fokus populasi atau urbanisasi.

“Apa yang penting baki untuk Sabah dan Sarawak dikembalikan mengikut aspirasi dan terma tertakluk kepada perjanjian terdahulu,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika diminta oleh pemberita untuk mengulas sama ada nisbah kerusi Parlimen Sabah dan Sarawak patut dibentuk mengikut populasi.

Mengenai jumlah sebenar kerusi yang perlu ditambah, Maximus memberitahu perkara itu masih dalam proses perbincangan oleh pasukan khas dari Sabah dan Sarawak.

Terdahulu, Maximus menghadiri Program Kesedaran MA63 iaitu MA63: Dari Perspektif Generasi Millenial di Arena Gemilang, Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) di sini, kelmarin.

Setakat ini, Sarawak mempunyai 31 kerusi parlimen dan Sabah sebanyak 25 kerusi manakala 166 kerusi bersamaan 75 peratus kerusi adalah di Semenanjung.

Dalam perkembangan sama, beliau menegaskan terdapat 15 perkara di bawah perjanjian MA63 yang kini masih belum dilunaskan sepenuhnya.

Antaranya, semakan semula pemberian khas (Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan) Negeri Sarawak; Kuasa Baki Perundangan Mengenai Alam Sekitar; Kuasa Kawal Selia Gas dan Elektrik bagi Negeri Sabah; Tenaga Buruh di Sabah dan Sarawak dan royalti minyak dan pembayaran tunai Petroleum.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru