Monday, September 26, 2022

Kru dipercayai terperangkap di dalam kapal tongkang

Secara Rawak

PUSA: Seorang kru kapal yang dipercayai terperangkap dalam sebuah kapal tongkang yang karam empat hari lalu, masih gagal dikesan.

Ketua Polis Daerah Betong Deputi Superintendan Zamry Alli memberitahu, biarpun operasi sudah diperhebat dengan penglibatan pelbagai agensi, tiada sebarang klu ditemukan.

ZAMRY ALLI

“Hari ini operasi memasuki hari keempat, namun masih belum menjumpai mangsa walaupun kita telah menghabiskan lapan kilometer radius pencarian dari lokasi kejadian yang berhampiran tapak pembinaan jambatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jelasnya, semasa kejadian Sabtu lalu terdapat lima pekerja lelaki berada di atas kapal.

“Empat pekerja sempat menyelamatkan diri, manakala seorang lagi belum dapat dikesan atau hilang.

“SAR terus diaktifkan selepas sahaja kita menerima maklumat kejadian.

“Kekuatan pasukan SAR terdiri daripada tiga pegawai dan 31 anggota empat agensi iaitu Polis Diraja Malaysia (PDRM), Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Saratok dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Betong dan Lembaga Sungai Sarawak,” ujarnya.

Untuk rekod kapal yang karam adalah jenis kargo (Han Lee) dengan lebar lebih kurang 40 kaki (13 meter) dan panjang dalam anggaran 120 kaki (40 meter) yang membawa muatan 500 tan pasir.

Zamry memohon penduduk sekitar dan nelayan untuk berhati-hati melalui lokasi kejadian.

Sekiranya mempunyai sebarang maklumat mengenai mangsa, boleh berhubung dengan Pegawai Penyiasat Sarjan Rozman Tahasan di talian 011-10199671.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru