Monday, September 26, 2022

Guna penyedut minuman mesra alam

Secara Rawak

BUMI kini dibanjiri sisa plastik yang sukar dikitar, lambat reput dan memerlukan kos tinggi untuk proses pelupusannya.

Ia bukan sahaja memusnahkan hidupan liar dan mencemarkan rantaian makanan tetapi turut mencemarkan lautan dengan kira-kira sebelas juta tan metrik berakhir di lautan setiap tahun.

Angka ini dikhuatiri meningkat tiga kali ganda menjelang 2040 sekiranya pengeluaran dan penggunaan plastik buang seperti botol minuman, straw plastik, pembungkusan dan beg plastik tidak dikawal.

Pencemaran itu turut menimbulkan ancaman kepada perubahan iklim yang besar kerana sebahagian besar plastik ini berasal daripada bahan api fosil.

Di Sarawak dan kebanyakan negara maju, sistem pengurusan sisa serta sisa pepejal dari rumah, komersial dan industri memberi cabaran yang sangat besar.

Seperti yang kita ketahui, Malaysia merupakan negara penyumbang kedua tertinggi pencemaran plastik di Asia.

Statistik yang dikeluarkan oleh kajian Tabung Alam Sedunia (WWF) Malaysia melaporkan bahawa negara kita banyak menggunakan plastik dengan purata setiap individu menggunakan sekitar 16.78 kg plastik dalam tempoh setahun.

Hal ini kerana ketika membeli- belah barangan dapur, kita sering kali menggunakan plastik begitu juga di restoran atau kedai makan menggunakan straw dan juga pembungkus plastik.

Lebih menyedihkan, plastik ini dibuang merata-rata tempat menyebabkan alam sekitar kita tercemar dan akhirnya mengganggu habitat di darat mahupun di lautan.

Justeru, tiga tahun lepas kerajaan cuba memperkenalkan ‘Kempen Hindari Plastik Sekali Guna’ sebagai usaha untuk mengurangkan pencemaran dan memelihara alam sekitar.

Ketika itu, pelbagai jenis penyedut minuman yang diperbuat daripada besi, buluh, serai dan kertas menjadi trend sebaik kerajaan melaksanakan kempen tersebut.

Kempen tersebut selaras dengan Pelan Hala Tuju Malaysia Ke Arah Sifar Penggunaan Plastik Sekali Guna 2018-2030 bagi mengurangkan sisa plastik dalam negara termasuk penggunaan penyedut minuman plastik.

Namun setelah tiga tahun berlalu, kempen ini kini semakin sepi dan kebanyakan restoran ketika ini kembali menggunakan penyedut minuman plastik. Hanya segelintir masih kekal dan bertahan menyediakan straw kertas untuk pelanggan.

Ahad lalu, Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) mengambil langkah ketat dengan mengenakan larangan sepenuhnya terhadap penyedut minuman plastik mulai 1 Januari tahun depan.

Menurut MBKS, penggunaan straw plastik hanya dibenarkan sehingga 31 Disember sebelum larangan sepenuhnya di kesemua cawangan gerai makanan dan medan selera.

Kempen tersebut sekali gus menghalang lebih 1.2 juta penyedut plastik daripada memasuki tapak pelupusan sampah dan air Kuching.

Larangan tersebut memberi nafas baharu bagi memastikan masyarakat tidak alpa akan kesan buruk plastik kepada alam sekitar.

Susulan itu, diharap seluruh bahagian Sarawak turut serta memperhebatkan semula kempen tanpa plastik dan straw plastik untuk merealisasikan pelan Malaysia ke arah sifar penggunaan plastik menjelang 2030.

Penulis turut berpendapat, penyedut minuman yang dapat diguna semula seperti penyedut besi perlu menjadi satu normal baharu dalam masyarakat walaupun sesetengah pihak menganggap ia satu perkara leceh.

Kini semakin banyak dijual penyedut minuman mesra alam yang bersaiz kompak dan senang dibawa ke mana-mana sahaja.

Sudah tiba masyarakat kita menjadikan ia sebagai trend bagi menyokong usaha kerajaan dan agensi untuk menjayakan kempen tanpa straw plastik dalam kehidupan seharian.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru