Sunday, September 25, 2022

41 buah sekolah terima robot

Secara Rawak

KOTA SAMARAHAN: Sebanyak 41 sekolah rendah di sekitar Samarahan telah menerima kit Robot Rero Mikro sebagai salah satu usaha meningkatkan kemahiran dalam Pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) di Sarawak.

Penyerahan kit tersebut disempurnakan oleh Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat (MEITD) Datuk Roland Sagah Wee Inn di Institut Pendidikan Guru Kampus Tun Abdul Razak (IPGKTAR) di sini, kelmarin.

Menurut Roland, usaha dijalankan Kerajaan Sarawak menerusi IPGKTAR dengan kerjasama Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Samarahan itu diyakini dapat memberikan pendidikan berkualiti dan melahirkan modal insan berdaya saing dalam kalangan murid di sekolah.

“Dalam bidang pendidikan, pembelajaran program robotik kepada murid-murid membolehkan mereka memahami asas teknologi terkini
dan memberikan kelebihan kepada mereka menguasai bidang teknologi suatu hari kelak.

“Saya percaya pendidikan menggunakan robotik dapat menarik perhatian murid untuk lebih cenderung ke arah pembelajaran secara kreatif, bersedia mengharungi cabaran baharu supaya generasi in tidak terpinggir dalam era globalisasi digital,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Kit Robot Rero : Mikro yang diadakan di Institut Pendidikan Guru Kampus Tun Abdul Razak (IPGKTAR) di sini, kelmarin.

Dalam perkembangan berkaitan, Roland berkata, kementeriannya berhasrat untuk menjalankan kolabarasi bersama setiap IPG di Sarawak untuk mengadakan program berkaitan robotik termasuk penggunaan bahasa Inggeris.

Katanya, kementeriannya juga akan menjalankan kerjasama dengan universiti-universiti tempatan dalam memajukan dan memperluas kegunaan program berkaitan komputer, cara kejuruteraan baharu dan sebagainya.

“Pelaksanaan program seperti ini sudah tentu memberi peluang dan ruang untuk meningkatkan dan menanam minat anak-anak di sekolah berhubung kepentingan dunia baharu ini.

“Secara tidak langsung, ia juga mendedahkan mereka mengetahui penggunaan kaedah berkaitan digitalisasi dan penggunaan komputer, kecerdasan buatan (AI) dan semuanya.

“Hal ini tentu sangat berguna kepada kita di masa hadapan sebab ia memberi mereka peluang dalam membuat reka bentuk seperti keselamatan dalam kereta berkaitan dengan mikrocip dan lain-lain,” katanya.

 

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru