Monday, September 26, 2022

Tambah kerusi Parlimen Sarawak, Sabah atas semangat asal Malaysia

Secara Rawak

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 8 September 2022 memberi komitmen kerajaan untuk memberi perhatian terhadap isu-isu berbangkit di Sabah dan Sarawak.

Komitmen itu perlu bukan sahaja bagi memenuhi aspirasi pejuang kemerdekaan dan rakyat di kedua-dia wilayah itu, tetapi bagi memastikan kita dapat melangkah ke hadapan sebagai sebuah negara, sesuai dengan gagasan Keluarga Malaysia.

Amat penting bagi Kerajaan Persekutuan untuk memenuhi aspirasi berkenaan, terutama hak yang terkandung dalam Perjanjian Malaysia (MA1963).

Yang menarik, ini termasuk berkaitan jumlah wakil dua negeri itu di Parlimen. Berita ini disambut positif oleh rakyat di kedua-dua negeri itu.

Majlis Khas Perjanjian Malaysia 1963 telah membincangkan tuntutan bagi mengembalikan 35 peratus kerusi Parlimen di Sabah dan Sarawak.

Sebenarnya, cadangan untuk mengembalikan kedudukan kerusi Parlimen itu sudah disahkan oleh Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen pada 2012. Mengapakah terlalu lama masa diambil untuk merealisasikan hasrat itu?

Kita perlu meletakkan tuntutan ini dalam konteks sejarah supaya kita lebih faham akan isu ini. Memang tidak disangkal, ada pihak yang mempertikaikannya.

Mengapa harus 15 peratus kerusi yang pada suatu ketika berada di Singapura diserahkan kepada Sabah dan Sarawak sahaja? Mengapa tidak diagihkan 15 peratus kerusi itu kepada ketiga-tiga wilayah?

Adakah tuntutan itu wajar? Jika dilaksanakan pasti langkah ini akan memberi implikasi tertentu. SPR perlu melakukan sesuatu, termasuk persempadanan semula kawasan bagi memastikan tuntutan berkenaan dapat dipenuhi.

Jumlah awal kerusi di negara ini adalah 104 pada 1959 sebelum ditambah kepada 159 pada 1964, kemudian 144 pada 1969, 154 pada 1974, sebelum ditambah kepada 177 pada 1986. Jumlah itu naik menjadi 180 pada 1990, 192 pada 1995, 193 pada 1999, dan 219 pada 2004, sebelum menjadi 222 pada 2008 hingga kini.

Seyogia diingatkan, pada 1963, Sabah mempunyai 16 kerusi Parlimen, Sarawak (24) dan Singapura (15), pada 1963 ketika Malaysia dibentuk. Jumlah itu mewakili 35 peratus daripada keseluruhan 159 kerusi Parlimen, manakala baki 65 peratus atau 104 kerusi Parlimen adalah di Malaya. Maksudnya, Semenanjung Tanah Melayu ketika itu tidak memiliki majoriti di Parlimen.

Bagi sesetengah pemimpin di Sabah dan Sarawak apabila Singapura keluar Malaysia pada 1965, kerusi miliknya sepatutnya diberi kepada wilayah terbabit bagi mengekalkan kedudukan 35 peratus itu.

Ketika ini, daripada 222 kerusi Parlimen di seluruh negara, sebanyak 166 kerusi atau 75 peratus di Semenanjung. Baki 25 peratus atau 56 kerusi di negeri Borneo – masing-masing 31 kerusi di Sarawak dan 25 kerusi di Sabah. Ini bermakna kedua-dua negeri hanya menerima 56 kerusi atau 25 peratus daripada 222 kerusi Parlimen di negara ini berbanding pada awal pembentukan Malaysia.

Nisbah pembahagian antara kedua-dua negeri harus ditentukan mengikut pecahan yang sama seperti sekarang iaitu Sarawak memiliki 31 kerusi manakala Sabah 25.
Peratusan kerusi yang diperuntukkan semasa Singapura masih dalam Malaysia harus menjadi justifikasi untuk Sabah dan Sarawak diberi lebih banyak kerusi. Sebab, ketika ini kedua-dua negeri ini hanya menerima 25 peratus kerusi Parlimen.

Di Sabah, kebanyakan kerusi berkenaan dimiliki oleh pemimpin berasaskan parti-parti Semenanjung.Persoalan, adakah hak perlembagaan negeri dapat dilindungi jika ahli Parlimen kita bersuara mengikut pendirian parti semasa tuntutkan mengenai hak-hak Sabah dan Sarawak diperjuangkan.

Kita mahu suara sebenar wakil rakyat dari kedua-dua negeri itu menggambarkan sentimen dan suara sebenar negeri terbabit.

Proses untuk memenuhi tuntutan itu bukannya mudah kerana hal ini bermaksud Suruhanjaya Pilihan Raya perlu melakukan persempadanan semula kawasan. Persoalannya, adakah Semenanjung Malaysia juga akan berdiam diri? Adakah mereka juga akan membuat tuntutan agar kerusi di negeri di Semenanjung juga ditambah bersekadar dengan pertambahan penduduknya?

Ketika ini Malaysia mempunyai sekitar 32 juta penduduk. Sabah dan Sarawak pula mempunyai sekitar 6 juta penduduk. Mereka tentu mahu jumlah kerusi yang lebih banyak juga berdasarkan prinsip satu suara satu undi.

Memang penting untuk Sarawak mempunyai jumlah kerusi asal. Jika tidak ada 35 peratus kerusi, terdapat kebimbangan Ahli Parlimen Semenanjung boleh meminda Perlembagaan tanpa Ahli Parlimen Sabah dan Sarawak. Implikasinya tentu amat mendalam dari segi politik dan dasar negara.

Peruntukan tambahan kerusi Parlimen adalah sebahagian daripada perlindungan yang diletakkan dalam MA63 bagi memastikan Perlembagaan Persekutuan tidak dipinda semata-mata dengan mengorbankan kepentingan rakyat Sarawak atau Sabah.

Jika perkara ini berlaku, ini tentu merugikan rakyat di Sabah dan Sarawak. Perlindungan ini sebenarnya telah wujud sehingga Singapura keluar dari Malaysia. Justeru, adalah wajar perlindungan sedemikian dikembalikan kepada kedua-dua wilayah Borneo ini agar hak dan suara mereka tidak dibenamkan sewenang-wenangnya oleh wilayah yang dominan apabila berlakunya pengundian untuk keputusan penting di Parlimen.

Langkah mendapatkan semula 35 peratus kerusi Parlimen untuk Sabah dan Sarawak bakal membolehkan kedua-dua negeri memiliki jumlah kerusi yang munasabah untuk menggambarkan nisbah asal lebih 50 tahun lalu.

 

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru