Friday, October 7, 2022

Kumpulan penjenayah wujudkan balai polis palsu lapan bulan di Bihar

Secara Rawak

BIHAR: Sebuah kumpulan penjenayah di India dilaporkan mengendalikan balai polis palsu dari sebuah hotel selama lapan bulan sebelum kegiatan mereka terbongkar.

Mereka dikatakan berpakaian seperti pegawai polis dan dipercayai memeras wang daripada ratusan orang, kata seorang pegawai.

Insiden penipuan berpura-pura menjadi polis atau askar perkara biasa di India, namun kes mewujudkan balai polis palsu ini dianggap sebagai penipuan di luar kotak pemikiran.

Geng penipu dari Bihar itu mendirikan “balai” mereka hampir 500 meter dari kediaman ketua polis tempatan dan memakai pakaian seragam dengan lencana pangkat dan membawa senjata api, menurut pegawai bernama Srivastava kepada AFP.

Mereka kemudiannya mengenakan bayaran kepada penduduk tempatan datang ke stesen palsu untuk memfailkan aduan dan kes masing-masing.

Pada masa yang sama, mereka turut mengambil wang daripada orang lain dengan berjanji membantu mereka mendapatkan perumahan sosial atau pekerjaan sebagai polis.

Malah, mereka juga membayar gaji harian RM28 (500 rupee) kepada orang ramai dari kawasan luar bandar untuk berpura-pura menjadi pegawai polis yang bekerja di balai itu.

Penipuan mereka terbongkar selepas seorang pegawai polis sebenar terserempak dengan dua ahli kumpulan itu yang membawa senjata api yang dibuat di bengkel tempatan dan bukannya senjata api buatan kerajaan.

Hasil siasatan lanjut dan serbuan yang dilakukan, sekurang-kurangnya enam anggota kumpulan itu termasuk dua wanita ditangkap, namun ketua kumpulan itu masih bebas, menurut Srivastava seperti dipetik AFP.

“Siasatan sedang dijalankan dalam kes itu.” tambahnya lagi.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru