Monday, September 26, 2022

Pemecatan Tun Salleh sebagai Ketua Hakim patut jadi pengajaran

Secara Rawak

KUALA LUMPUR: Pemimpin veteran UMNO Tan Sri Shahril Samad setuju dengan saranan Ketua Hakim Negara yang merujuk kepada pemecatan Allahyarham Tun Salleh Abas, bekas Ketua Hakim Negara oleh sebuah Tribunal pada tahun 1988 sebagai peristiwa yang patut menjadi satu pengajaran.

Menurutnya, pemecatan Allahyarham Tun Salleh  sememangnya suatu detik hitam dalam sejarah negara walaupun ia dilakukan secara berperlembagaan.

Pemecatan itu berlaku pada zaman pemerintahan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri.

“Pemecatan ini, pada pandangan saya, ada kaitannya dengan keengganan Tun Dr Mahathir, selaku Presiden UMNO, untuk memulih kembali kedudukan UMNO setelah diisytihar tidak sah oleh mahkamah,” ujarnya.

“Dari membuat rayuan terhadap keputusan Hakim, Tun Dr Mahathir memutuskan untuk menubuhkan sebuah parti baharu, UMNO Baru,” katanya.

“Ia detik hitam sejarah negara dan bukan sahaja sejarah institusi kehakiman negara kerana beberapa hakim-hakim kanan telah turut menjadi mangsa dan kesudahannya ialah dengan peristiwa VK Lingam,” katanya dalam satu kenyataan.

“Saya menekankan dalam ucapan saya petang semalam bahawa pemecatan Allahyarham Tun Salleh adalah antara isu penting kempen saya dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Johor Bahru pada tahun 1988,” jelasnya.

Jelasnya, setelah menubuhkan UMNO Baharu, Tun Mahathir pula memilih-milih mereka yang boleh menyertai parti itu dan tidak dilakukan penghijrahan ahli secara ‘automatik’ dari yang lama kepada yang baharu.

Shahril berkata, pemecatan Allahyarham Tun Salleh Abas telah mematuhi peruntukan Perlembagaan sepenuhnya, sungguhpun ada pertikaian dari segi kelayakan anggota Tribunal.

“Tapi pada hati rakyat (terutamanya pengundi Johor Bahru) ianya suatu kezaliman.

Kesimpulan pertama, suara hati rakyat sangat penting dalam menuntut kebenaran dan keadilan,’ katanya lagi.

Jelasnya, keputusan PRK Parlimen Johor Bahru menjadi bukti dan beliau masih ingat lagi kehadiran Allahyarham Tun Salleh bersamanya di Pusat Mengira Undi pada malam hari mengundi.

“Kesimpulan kedua pula, peristiwa VK Lingam menjadi bukti bahawa peristiwa pemecatan Allahyarham Tun Salleh sebenarnya tidak menjadi pengajaran pun kepada mereka yang berjawatan tinggi dalam kehakiman negara.

Maka pengakuan setiap kebebasan tetap perlu juga kepada pengiktirafan suara hati rakyat<” katanya sambil memetik  kata-kata bijak pandai bahawa “keadilan bukan sahaja harus berlaku tapi secara terang dan tanpa keraguan dilihat telah berlaku.”

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru